Pulau Pinang anjur Konsert Siti Nurhaliza percuma sempena Hari Malaysia

KUALA LUMPUR, 6 Sept — Kerajaan negeri Pulau Pinang akan mengadakan konsert penyanyi tersohor Siti Nurhaliza secara percuma bagi memberi makna kepada sambutan Hari Malaysia, 25 September ini.

Persembahan Datuk Siti Nurhaliza akan berlangsung di Stadium Bandaraya Pulau Pinang dengan bertemakan “Menyambut Hari Malaysia Bersama Dato’ Siti Nurhaliza”.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata oleh kerana tahun ini menjadi tahun pertama rakyat menyambut penubuhan Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak dengan cuti kebangsaan, kerajaan negeri Pulau Pinang mahu menjadikannya lebih bermakna dengan kekal dalam ingatan dan mengembirakan.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, Lim berkata kehadiran penyanyi nombor satu negara dan penghibur antarabangsa itu turut mengingatkan semua warga Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan rakyat Malaysia amnya, bahawa “kita semua terikat antara satu sama lain dalam satu keluarga dan satu takdir.”

“Rakyat Malaysia harus terus bersatu dan mengejar aspirasi kebenaran, keadilan, kebebasan, kebajikan untuk rakyat dan kepercayaan dalam nilai-nilai moral ketuhanan yang menjurus kepada penubuhan Malaysia.

“Kita tidak seharusnya menyerah kepada kuasa yang melampau, ketaksuban dan perkauman yang menjadi penyebab perpecahan antara kita dan menafikan peluang saksama untuk merealisasikan potensi sepenuhnya,” kata beliau lagi.

Lim menambah, hanya apabila semua rakyat Malaysia dibenarkan mendapat hak, ruang dan lapangan sama rata untuk melakukan yang terbaik, ketika itu Malaysia akan berada teratas di kalangan semua.

Lim menambah negara memerlukan lebih banyak bakat sumber manusia untuk memacu Malaysia ke hadapan.

“Jika kita mengadaptasi dasar-dasar yang meraikan kecemerlangan dan kemanusiaan, sama seperti Datuk Siti Nurhaliza, sesungguhnya, rakyat Malaysia mampu menjadi yang terbaik,” katanya.

Konsert sulung Siti Nurhaliza (gambar) di Pulau Pinang ini akan dihadiri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas.

Acara tersebut adalah percuma kepada semua rakyat Pulau Pinang dan dalam semangat Hari Malaysia kepada semua rakyat yang berhasrat untuk datang ke Pulau Pinang bagi menghadiri konsert percuma ini.

“Mereka yang hadir hanya dikehendaki membeli sebotol air mineral setiap seorang. Air mineral itu, Island Spring Water dihasilkan oleh PBAPP dan akan dijual pada harga RM1 sebotol untuk membantu kami dalam menentukan rekod kehadiran,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.