Rayuan mendesak kepada Tan Sri Khalid Ibrahim

Entri kali ini ialah rayuan segera kepada Yang Amat Berhormat Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim, Dato’ Menteri Besar Selangor untuk mempertimbangkan dengan segera menawarkan diri untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden Keadilan.

Percubaan untuk mendesak Syed Husin Ali mempertahankan jawatan gagal dengan kenyataan terbuka Syed Husin untuk tidak mempertahankan jawatan Timbalan Presiden. Usaha agar Anwar Ibrahim menjadi Presiden dan Datuk Seri Wan Azizah Ismail menjadi Timbalan Presiden juga saya kira tidak dapat pergi jauh.

Cabaran daripada Zaid Ibrahim pada hemat saya tidak boleh dianggap kredibel selain daripada usaha untuk menyekat Azmin Ali. Saya tidak mahu menyertai spekulasi bahawa Zaid gigih untuk merebut kuasa dan kedudukan di dalam Keadilan.

Satu-satunya tokoh yang saya percaya boleh membawa parti ini ke tahap yang lebih tinggi sebagai Timbalan Presiden ialah Khalid Ibrahim. Beliau mempunyai pengalaman selaku Bendahari Agung, Setiausaha Agung, Pengerusi Perhubungan Negeri. Khalid juga ialah Ketua Perunding pembahagian kerusi pilihanraya tahun 2008. Di bawah kepemimpinan beliau, pembahagian kerusi di antara parti-parti Pakatan Rakyat berjalan lancar. Beliau juga cekap menyantuni tuntutan dan desakan dalaman untuk kerusi tertentu dan jumlah kerusi tertentu. Malah beliau memainkan peranan berkesan di Sabah dan beberapa negeri bermasalah.

Azmin Ali dan juga Zaid Ibrahim tidak ada pengalaman seperti Khalid Ibrahim. Kedua-duanya tidak pernah memegang jawatan Setiausaha Agung dan Bendahari Agung. Azmin gagal dengan teruk sebagai Pengerusi Sabah sehingga menyebabkan perpecahan yang lebih parah dan beliau terpaksa digantikan. Azmin tidak pernah memegang jawatan utama memimpin organisasi besar. Beliau hanya ada pengalaman politiking di pejabat Anwar Ibrahim. Zaid ada pengalaman membina ZICO. Tetapi tidak mungkin ZICO dapat dibandingkan saiz dan operasinya dengan PNB dan Guthrie.

Justeru Keadilan memerlukan Khalid Ibrahim memainkan peranan yang lebih besar.

Meski saya mempunyai perbezaan-perbezaan dan perselisihan pandangan yang serius dengan beliau, pengalaman saya sebagai Ketua Penerangan Keadilan Selangor semasa beliau mula memegang jawatan Pengerusi dan kemudiannya apabila saya bertugas sebagai staf Ibu Pejabat ketika beliau menjadi Setiausaha Agung memberikan saya keyakinan bahawa beliau adalah calon terbaik.

Benar beliau lemah politik, tetapi saya kira Keadilan sudah cukup politik dan lebih memerlukan kemampuan mentadbir dan memimpin.

[Sumber]

1 comment

Putra IJ80 said...

Azmin Ali dan juga Zaid Ibrahim

Elok di berikan pada Zaid.,berdasarkan pengalaman dan kepakaran nya dari segi Undang Undang.

Powered by Blogger.