Shanghai, Islam, Melayu Dan 1 Malaysia

SHANGHAI, ISLAM, MELAYU DAN 1 MALAYSIA

Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Ketika saya menulis rencana ini, saya sedang berada di Shanghai dan menuju ke Xian dan Beijing. Beberapa hari lepas, pada 21hb September 2010, saya menyertai satu rombongan VVIP melawat Shanghai World Expo 2010. Satu expo yang teramat besar bermula dari Mei sehingga Oktober 2010. Hampir 200 negara menyertainya. Kos keseluruhan expo ini mungkin puluhan billion ringgit. Setiap negara membina astaka atau pavilion mereka sendiri untuk memperkenalkan negara mereka kepada dunia. Setiap negara membelanjakan puluhan, bahkan ratusan juta untuk itu. Saya difahamkan, Malaysia sendiri membelanjakan tidak kurang dari RM 20 juta untuk membina Malaysia Pavilion di expo tersebut. Di sebabkan terlalu luas kawasan expo ini, jika anda melawatnya, dalam sehari anda mungkin hanya dapat melawat sekitar belasan astaka sahaja. Terlalu luas dan terlalu ramai pengunjungnya. Target 70 juta pelawat ke expo tersebut mungkin tercapai dengan mudahnya. Bayangkan 70 juta pengunjung, melebihi dua kali penduduk Malaysia.

Tinjauan

Terlebih dahulu, walaupun saya datang menyertai rombongan VVIP, tulisan saya ini hanya mewakili pemerhatian saya secara peribadi. Secara umumnya, saya rasa rakyat Malaysia tahu bahawa pandangan-pandangan sebelum –insya Allah- bebas dari unsur perkauman dan fanatik. Saya berusaha bersikap adil, itulah titah agama yang luhur. Maka saya harap rencana ini dibaca dengan semangat kenegaraan dan hakikat sebuah negara bernama Malaysia.

Pertamanya, saya mengucapkan jutaan terima kasih yang teramat sangat kepada pihak Kementerian Pelancongan Malaysia yang menyambut kedatangan rombongan kami dengan penuh layanan mesra. Budi baik amat dikenang. Saya juga rasa patut berterima kasih atas usaha kementerian berkenaan memperkenalkan Malaysia di expo berprestij tersebut.

Atas usaha pihak kosulat Malaysia di Shanghai dan Kementerian Pelancongan, kami mendapat layanan istimewa di setiap pavilion negara-negara yang kami lawati. Alhamdulillah, dan terima kasih!

Islam

Namun, atas hak sebagai seorang rakyat Malaysia, saya sedikit ingin memberikan pandangan peribadi di sini. Ada beberapa gambaran yang saya rasa kurang kemas dalam expo tersebut. Saya tidak pasti ia berlaku secara sengaja, atau tidak sengaja. Bagi saya, sebagai rakyat Malaysia kita wajar mengakui beberapa hakikat negara kita. Antaranya, kita berbilang agama dan bangsa. Islam adalah agama rasmi dan mempunyai penganut yang paling besar. Agama-agama lain juga wujud secara aman. Orang melayu adalah majoriti terbesar. Kaum-kaum lain juga hidup secara aman. Kita semua sepatutnya berusaha ke arah kedamaian dan keharmonian. Jika kita ingin menceritakan negara kita ini kepada dunia, inilah hakikatnya. Ia bukan soal perkauman atau fanatik agama, tetapi itulah realiti negara kita. Tiada cacatnya menceritakan realiti itu kepada dunia.

Namun saya rasa, jika saya tidak tahu tentang Malaysia, saya datang ke Malaysia Pavilion di Shanghai World Expo 2010, saya mungkin akan mengagak bahawa agama Kristian adalah agama majoriti rakyat Malaysia. Tempat-tempat ibadat yang di paparkan hanyalah dua buah gereja. Itu pun bangunan binaan tinggalan penjajah Portugis, bukan binaan rakyat Malaysia. Ini seperti gambar yang saya sertakan. Entah berapa banyak masjid dan seni binanya yang cantik, namun tidak ditonjolkan. Lojiknya, tonjollah secara seimbang dengan menggambarkan kepelbagaian agama. Sudah pasti Islam sebagai agama rasmi, tidak boleh dinafikan kedudukannya, kerana itulah realiti kita.


[Seterusnya]

No comments

Powered by Blogger.