Gopal Sri Ram, Musa Hassan 'serang' kerajaan: Mengapa garang setelah pencen

Oleh Wartawan Kita

Dato' Gopal Sri Ram dilanda sindrom pencen sebagai mana Tan Sri Musa Hassan. Demikian komen Profesor Dr Abdul Aziz Bari (gambar)_ketika diminta mengulas kritikan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan itu Khamis lalu. Dalam satu seminar di Kuala Lumpur bekas hakim itu menyalahkan badan kehakiman kerana gagal melindungi hak minoriti dan mengikut lenggok kerajaan.

Sementara itu, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan pula menyerang kerajaan selepas kontrak perkhidmatannya tidak disambung. Aziz berkata apa yang dikatakan oleh hakim yang juga bekas peguam Umno itu ada kebenarannya.

Tetapi oleh kerana Gopal Sri Ram juga tidak tegas dan bersikap selektif ketika berkhidmat, kritikannya kepada hakim-hakim lain memercik ke mukanya sendiri. Malah beliau akan dianggap sombong dan berfikir yang dia sahaja yang pandai," ujar pakar perlembagaan itu lagi.

Gopal Sri Ram ialah peguam Umno ketika parti itu dilanda krisis pada 1987. Beliau menghujah bahawa Umno pertubuhan haram dan hujah itu membantu menyelamatkan Tun Dr Mahathir Mohamad yang ditentang oleh Tengku Razaleigh Hamzah.

"Malahan, ada yang melihat Tan Sri Harun Hashim - hakim mahkamah tinggi yang mengharamkan Umno - terpalit sama", kata Aziz.

Gopal Sri Ram juga mendiamkan diri dalam kes pemecatan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas yang merupakan salah satu implikasi kes Umno di mahkamah itu.

Aziz yang membuat kajian kes-kes perlembagaan berkata ada beberapa kes penting yang membantu orang-ramai memahami Gopal Sri Ram yang sebenar. Katanya, mereka yang tidak membuat penyelidikan menyangka orang ini (Gopal) hero sedangkan ada beberapa kes besar yang diputuskan dengan cara yang tidak selaras dengan perlembagaan.

Antara kes-kes penting yang diputuskan oleh Gopal Sri Ram ialah kes Lim Guan Eng (1998), Empangan Bakun (1997), Lina Joy (2005) dan Meor Atiqulrahman (2005). Dalam kes Lim Guan Eng, hukuman penjara ke atas ahli parlimen DAP itu ditambah manakala dalam kes Bakun pula keputusan Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan projek kontroversial itu tidak sah diubah.

Lim Guan Eng didakwa di mahkamah ekoran ucapan beliau mengutuk pihak polis dan Jabatan Peguam Negara dalam menangani skandal seks bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Rahim Thamby Chik.

"Gopal tidak menunjukkan simpati dan tidak mencari jalan untuk mengetengahkan semangat perlembagaan dalam kes-kes itu. Malahan pendekatan yang diambilnya memusnahkan perlembagaan. Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri pun menyatakan ketidakselesaannya dengan hukuman ke atas Lim Guan Eng itu", tegas Aziz.

Beliau berkata dalam kes Lina Joy dan Meor Atiqulrahman bekas hakim itu tidak mahu melaksanakan peruntukan yang jelas dalam perlembagaan.

"Dalam kes Lina Joy yang membabitkan isu murtad Gopal enggan mengakui bidang kuasa mahkamah syariah yang jelas tertera dalam perlembagaan. Dalam kes Meor Atiqulrahman pula Gopal membutakan matanya kepada hak kebebasan beragama dan membenarkan pengetua sekolah memijak-mijak perlembagaan", jelas profesor undang-undang itu lagi.

Aziz berkata Gopal bersedia menghormati hak orang asli dalam kes Sagong Tasi (2005) meskipun hak tersebut tidak disebut dengan jelas.

"Itu satu pendekatan yang baik. Tetapi mengapa dalam kes-kes yang disebutkan tadi Gopal tidak berbuat apa-apa? Dalam dua kes yang melibatkan Islam tadi Gopal enggan mematuhi peruntukan undang-undang yang begitu jelas.

"Ini yang saya katakan selektif dan tidak konsisten. Sukar untuk menafikan bahawa Gopal memilih-milih dan ini menyebabkan imejnya tidak terlalu berbeza dengan hakim-hakim lain. Dan kenyataannnya ialah Gopal begitu lantang selepas beliau tidak dinaikkan pangkat," katanya.

Gopal Sri Ram dilantik secara terus ke Mahkamah Rayuan pada pertengahan 1990an. Walaupun ia amat jarang berlaku ia tidak terlalu memeranjatkan kerana Gopal adalah peguam Umno.

Bagaimana pun, Gopal terbenam di situ dan hakim-hakim yang lain yang lebih junior telah dinaikkan pangkat ke Mahkamah Persekutuan. Gopal hanya dinaikkan pangkat beberapa bulan sebelum bersara dari mahkamah tertinggi itu.

Meskipun begitu, Aziz berkata Gopal perlu diberi peluang bercakap. Katanya, sekurang-kurangnya Gopal berani bercakap. Tidak seperti kebanyakan orang pencen lain yang semakin kuat mengampu selepas bersara, tegas Aziz lagi.

No comments

Powered by Blogger.