Rasuah konsesi balak RM21.5 juta hanya fitnah

Oleh Nazli Ibrahim

PETALING JAYA: Kewibawaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam menjalankan tanggungjawab memerangi rasuah di negara ini semakin diragui apabila dianggap mengamalkan sikap dwi standard dalam mengendalikan kes-kes rasuah yang melibatkan ahli-ahli politik dari Pakatan Rakyat (PR) dan Barisan Nasional (BN).

Demikian menurut Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dato Seri Mohammad Nizar Jamaluddin ketika mengulas laporan sebuah akhbar mengenai dakwaan berlakunya penyelewengan konsesi balak di Perak.

Menurut beliau, SPRM berjanji menjalankan siasatan terhadap isi kandungan sepucuk surat layang yang mendakwa berlaku penyelewengan pemberian konsesi balak berjumlah RM21.5 juta sepanjang 11 bulan pemerintahan PR di negeri itu.

"SPRM cepat bertindak terhadap surat layang ini, sedangkan kes-kes rasuah yang banyak dilaporkan terhadap pemimpin-pemimpin BN disenyapkan walaupun mempunyai bukti kukuh termasuk pita video mereka sendiri.

"Sungguh jelas, ini ‘double standard,’" katanya lagi sambil merujuk kepada kes rasuah yang membabitkan bekas Menteri Besar Kedah, Mahazir Khalid yang cuba menyogok Adun dari PKR supaya melompat parti seperti yang dilaporkan oleh beberapa portal berita
baru-baru ini.

Menurutnya, pihaknya tidak mempertikaikan tanggungjawab SPRM untuk menjalankan sebarang siasatan walaupun isu yang membabitkan diri beliau sendiri, asalkan ianya dijalankan dengan sikap penuh tanggungjawab dan profesional tanpa mengira idealogi politik.

Namun begitu, katanya, tindakan SPRM telah banyak menimbulkan persepsi buruk terhadap suruhanjaya itu sendiri apabila dilihat begitu lembab bertindak terhadap kes-kes yang melibatkan pemimpin BN seperti dakwaan rasuah RM5 juta melibatkan Mahazir.

Nizar juga memberitahu FMT ketika dihubungi hari ini, bahawa beliau yakin surat layang tersebut merupakan fitnah oleh pihak tertentu untuk memburukan Kerajaan Pakatan Rakyat ketika mentadbir negeri Perak.

"Itu fitnah semata-mata. "Tiada apa yang perlu dibimbangkan. Saya membuka pintu seluas-luasnya kepada SPRM untuk menjalankan siasatan terhadap apa yang difitnahkan oleh penulis surat layang tersebut," kata beliau.

"Dari mana datang surat itu dan siapa penulisnya juga perlu disiasat SPRM. Bagi pihak kami (pemimpin PR Perak), kami tidak menyembunyikan apa-apa," ujar beliau lagi.

SPRM amal sikap berpilih-pilih

Beliau juga memberitahu, tindakan SPRM ini sekaligus menyerlahkan sikap SPRM yang mengamalkan sikap berpilih-pilih dalam menjalankan tanggungjawab membenteras rasuah di negara ini.

Selain itu, beliau menganggap penulis surat layang tersebut sebagai pengecut apabila tidak berani melaporkan kes tersebut secara terbuka seperti mana yang lazim dilakukan oleh pemimpin-pemimpin PR.

Lim Soo Nee Dalam isu yang sama, Adun Kulim, Lim Soo Nee pula memberitahu, beliau telah menanti selama dua tahun akan perkembangan kes yang beliau laporkan kepada SPRM.

Sungguhpun begitu, beliau hanya mengetahui ‘perkembangan’ terkini kes tersebut melalui sebuah blog yang dikendalikan oleh Raja Petra Kamaruddin baru-baru ini.

"Walaupun saya telah memberi maklumat dan bukti yang cukup kepada SPRM, saya masih tertunggu-tunggu selama dua tahun untuk mengetahui status kes itu. Akhirnya saya cuma mengetahui status kes tersebut ‘NFA’ (no further action) melalui blog itu," katanya dengan nada kesal.

Bagaimanapun beliau enggan menyentuh lebih lanjut kerana bimbang kes ini boleh menjejaskan siasatan SPRM.

Laporan beberapa portal berita baru-baru ini menyebut kes tersebut dilaporkan oleh Lim kepada SPRM pada tahun 2008. Siasatan yang dijalankan itu turut mengandungi bukti pita rakaman audio dan visual yang telah dirakamkan oleh Bahagian Perisikan Ibu Pejabat Badan Pencegah Rasuah (kini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) sendiri.

Namun setelah dua tahun, laporan siasatan terhadap aduan bertajuk Laporan Awal Siasatan dan bertanda PG/BPR/KS/:43/8/2008 BPR cawangan Seberang Perai Aduan no: 11/2008 yang dibuat oleh Lim Soo Nee dilabel sebagai A1 itu terus senyap hingga kini.

No comments

Powered by Blogger.