Wanita Pertama? di mana mereka?

Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menamakan dirinya sebagai 'wanita pertama' Malaysia tentu bangga dengan kehadiran "Wanita Pertama" dunia ke persidangan yang dianjurkannya di Putrajaya selama tiga hari bermula kelmarin.

Datin Seri Rosmah Mansor sudah tentu 'lega' yang persidangan atau sidang kemuncak itu dihadiri oleh isteri ketua-ketua kerajaan atau ketua-ketua negara yang majoritinya dari benua Afrika. Pendek kata, hanya 14 'wanita pertama' daripada sejumlah 192 negara di dunia hadir.

Walaupun demikian, kita rakam ucapan tahniah kepada beliau kerana berjaya menganjurkannya di Malaysia.

Siapa sebenarnya "Wanita Pertama"? iaitu sama ada isteri ketua negara atau isteri ketua kerajaan. Ada beza yang ketara antara keduanya, umpamanya di Malaysia ketua negara adalah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong manakala ketua kerajaan adalah Perdana Menteri. Oleh itu, gelaran "Wanita Pertama" bagi Malaysia adalah Raja Permaisuri Agong, bukan isteri Perdana Menteri.

Di negara yang mengamalkan sistem pentadbiran presiden eksekutif seperti Amerika Syarikat dimana Presiden adalah ketua negara dan juga ketua kerajaan, maka tidak timbul tentang siapa yang bergelar "Wanita Pertama". Manakala di negara republik lain seperti Singapura, ketua negara adalah Presiden manakala ketua kerajaan adalah Perdana Menteri, maka gelaran "Wanita Pertama" harus dirujuk kepada isteri Presiden.

Kita pendekkan perdebatan mengenai siapa "Wanita Pertama" dan berbalik kepada persidangan anjuran Datin Seri Rosmah.

Kita ingin tahu sama ada ia layak digelar sedemikian sedangkan mereka yang hadir semuanya dari negara-negara sedang membangun atau membangun dan tiada seorangpun dari negara maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis, Jerman, Itali dan yang lain dari Kesatuan Eropah atau dari gergasi ekonomi Asia seperti China, India, Jepun, Korea Selatan dan Taiwan, dari Australia dan New Zealand, dari negara-negara Islam yang unggul seperti Iran, Pakistan, Turki dan dari negara-negara ASEAN.

Hanya dua negara Asia yang hadir iaitu Laos, satu-satunya negara ASEAN, dan Sri Lanka. Kenapa "Wanita Pertama" dari Indonesia, Singapura, Brunei, Thailand, Kemboja, Vietnam dan Myanmar tidak hadir?

Dari benua Eropah, hanya Albania, sebuah negara Islam yang dikatakan yang paling mundur di Eropah, hadir manakala dari Amerika Latin termasuk Caribbean hanya Paraguay dan Jamaica. Selebihnya dari Afrika iaitu Congo, Nigeria, Gambia, Ghana, Mali, Mauritius, Mozambique, Sierra Leone dan Seychelles (Lautan Hindi).

Ketakhadiran isteri Presiden Amerika Syarikat dan para isteri ketua-ketua negara/kerajaan Eropah, Asia dan Oceania serta negara-negara Islam menjadi tanda tanya sama ada persidangan yang dianjurkan ini benar-benar berjaya atau sekadar pertemuan para isteri pemimpin negara-negara ketiga, itupun bukan semua.

Gembar-gembur oleh media mengenai persidangan "Wanita Pertama Dunia" di Putrajaya tidak lebih daripada indah khabar daripada rupa, hebat cerita daripada kenyataan.

http://kudaranggi.blogspot.com/2010/10/wanita-pertama-di-mana-mereka.html

No comments

Powered by Blogger.