Sumbangan Untuk Penumpang Bas Delima Terbabit Kemalangan Ngeri

MELAKA, 12 Okt (Bernama) -- Kuala Lumpur Melaka Express Sdn Bhd (Delima) akan memberi sumbangan kepada penumpang bas mereka yang menjadi mangsa kemalangan ngeri di Kilometer 223 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Plaza Tol Simpang Ampat, Alor Gajah.

Pengurus Besar syarikat itu, Vincent Mah berkata waris kepada penumpang yang terkorban akan diberikan sumbangan sebanyak RM1,000 seorang dan penumpang yang tercedera akan diberi RM500.

"Kita meminta waris dan penumpang yang cedera untuk hubungi kita secepat mungkin untuk kita beri sumbangan ini, melalui talian 06-3371663 atau 016-6621333," katanya kepada pemberita di pejabat syarikat itu di Malim di sini, hari Selasa.

Pada kejadian 6.40 petang Ahad lepas, 12 orang terbunuh dan lebih 40 cedera dalam kemalangan ngeri membabitkan sebuah bas ekspres, sebuah bas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebuah van dan tiga buah kereta.

Kejadian itu dikatakan berlaku apabila bas ekspres tersebut yang menuju ke Kuala Lumpur, gagal dikawal lalu melambung dan memasuki laluan bertentangan dan melanggar sebuah van serta menghempap dua kereta lain sebelum melanggar bahagian tepi bas JKM yang menuju ke selatan.

Mah berkata pihak syarikat amat sedih dengan kejadian tersebut dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban.

Beliau berkata syarikat itu telah memberikan sumbangan kepada waris R. Ramachandra, pemandu bas ekspres yang maut dalam kemalangan itu semalam tetapi beliau enggan menyatakan jumlah sumbangan tersebut.

Katanya Ramachandra, 52, yang mula bekerja dengan syarikat itu pada Januari 2007 merupakan seorang pemandu yang baik, berpengalaman dan tidak pernah menerima tindakan disiplin daripada syarikat tersebut.

Mah berkata pemandu bas di laluan Melaka-Kuala Lumpur mempunyai masa memandu dan rehat yang mencukupnya untuk menjalankan tugas dengan baik, mereka diberi masa selama enam jam untuk memandu bas dalam satu perjalanan Melaka-Kuala Lumpur-Melaka.

"Selepas satu perjalanan itu, mereka diberi masa satu jam untuk rehat sebelum memulakan lagi satu perjalanan, seorang pemandu untuk dua perjalanan sehari dan bekerja enam hari seminggu," katanya.



Beliau berkata bas yang terlibat dalam kemalangan itu mula digunakan untuk perjalanan tersebut pada November 2007 dan syarikat berkenaan mempunyai tujuh bas satu tingkat dan sembilan pemandu untuk berkhidmat di laluan itu.

Katanya setakat semalam, operasi bas syarikat itu berjalan seperti biasa dan sambutan penumpang juga masih seperti biasa.

Mah enggan mengulas mengenai dakwaan penumpang yang mengatakan bahawa bas syarikat itu dipandu laju semasa kemalangan tersebut kerana siasatan pihak berkuasa masih berjalan dan syarikat berkenaan sedang bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa yang terlibat dalam menyiasat kemalangan tersebut.

"Aspek teknikal seperti penyelenggaraan bas kita patuhi peraturan, kita sentiasa menghantar bas untuk diperiksa pihak berkuasa (Puspakom) seperti dalam peraturan yang ditetapkan (enam bulan sekali)," katanya.

Beliau berkata pemilihan pemandu baru untuk bekerja di syarikat itu dilakukan dengan teliti dan mengikut peraturan yang dikenakan oleh pihak berkuasa sementara pemandunya dinilai termasuk diberi latihan yang berterusan.

Katanya syarikat itu mula beroperasi pada tahun 1949 dan sentiasa mendengar aduan penumpang dalam usaha untuk memperbaiki perkhidmatan syarikat tersebut dari semasa ke semasa.

"Kita akan tambah sistem aduan dalam talian di laman web tempahan tiket syarikat kita (http://202.190.100.76/) untuk memudahkan pelanggan kita membuat aduan," tambahnya.

No comments

Powered by Blogger.