MCA-BN Cuba Politikkan Kes Permai Indah

Oleh MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN

SHAH ALAM, 12 Okt – Kerajaan Negeri Selangor kesal dengan tindakan pemimpin MCA-Barisan Nasional (BN) yang mempolitikkan kes pemotongan bekalan elektrik dan air di pangsapuri Permai Indah, Pandamaran oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) baru-baru ini.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad berkata sikap tidak bertanggunjawab menuduh kerajaan negeri berpeluk tubuh tanpa menyelesaikan masalah penduduk pangsapuri Permai Indah adalah tidak benar dan mempunyai kepentingan politiknya.

“Jadi tidak benar bila dikatakan kerajaan negeri tidak melakukan apa-apa, saya rasa ramai yang cuba politikkan isu ini, contohnya masalah lif di Permai Indah, daripada banyak kes lif, lif tersebut yang pertama terima bantuan lebih RM600,000 daripada Kerajaan Pakatan rakyat (Pakatan) untuk dibaiki,” kata Iskandar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cempaka kepada Selangor Kini.

Katanya, pemimpin MCA sebelum ini tidak pernah membantu penduduk flat terbabit, malah lebih buruk lagi apabila mereka cuba mempolitikkan isu ini dengan menuduh kerajaan negeri gagal menyiapkan dan membaik pulih lif di pangsapuri terbabit.

Tambahnya, apabila kerja-kerja membaik pulih lif terbabit menghadapi masalah, mereka cuba menjadi juara di sebalik kemelut tersebut.

Dalam kes pemotongan bekalan elektrik dan air baru-baru ini, Iskandar berkata, pesuruhjaya bangunan Majlis Perbandaran Klang (MPK) segera turun padang menyelesaikannya sebagai orang tengah dan setiap bulan mereka mengadakan perjumpaan bersama TNB dan SYABAS.

Iskandar berkata, usaha pesuruhjaya bangunan MPK dan badan pengurusan bersama (JMB) Flat Permai Indah, Pandamaran, dilakukan sendiri tanpa bantuan dan campur tangan orang lain yang sudah berjalan sejak awal tahun lepas.

“Itu bukan masalah JMB, ia merupakan masalah kontrak JMB di antara TNB dan Syabas, yang itu kita minta supaya unit pesuruhjaya bangunan atau COB di peringkat MPK turun untuk membantu dan mereka telah turun membantu pegawai khas 663 kita pun ada turun membantu.”

Merujuk kes Pangsapuri Permai Indah, pihak TNB ada membuat pemotongan elektrik baru-baru ini tetapi menyambungnya semula akibat kelewatan JMB menjelaskan bayaran.

No comments

Powered by Blogger.