Telefon Blackberry: Kerajaan Tidak Bercadang Sekat Penggunaannya

KUALA LUMPUR, 13 Okt – Pengguna telefon pintar Blackberry harus menarik nafas lega apabila kerajaan tidak bercadang menyekat perkhidmatannya kerana yakin dengan keselamatan pemindahan dan penyimpanan data alat tersebut, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, keputusan itu dibuat setelah kementerian meneliti isu penggunaan Blackberry yang timbul mutakhir ini serta mengadakan perbincangan dengan pihak Research in Motion (RIM) berhubung perkara itu.

“Pengguna boleh meneruskan khidmatnya (Blackberry). Ia banyak beri faedah dan kemudahan kepada masyarakat terutama komuniti perniagaan.

Pihak RIM juga telah menyatakan kesediaan mereka untuk bekerjasama dengan kerajaan Malaysia untuk mendapatkan maklumat dan saluran untuk perkhidmatan yang berterusan,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat di sini.

Beliau menjawab soalan Leong Jee Keen (PKR-Selayang) yang ingin tahu sama ada kerajaan akan mengawal e-mel, khidmat pesanan ringkas (SMS) dan komunikasi antara masyarakat serta sama ada kerajaan bercadang untuk menyekat perkhidmatan Blackberry.

Rais berkata, Malaysia tidak akan menyekat penggunaan Blackberry seperti di Arab Saudi, Indonesia dan India kerana tiada sebarang insiden atau laporan negatif tentang penyalahgunaan alat tersebut di negara ini.

Jelasnya, tindakan negara-negara tersebut mengadakan sekatan kerana wujud laporan tentang kemungkinan kerahsiaan emel dan SMS tidak terjamin serta pangkalan data alat itu disalah guna pihak-pihak tertentu.

“Bagaimanapun baru-baru ini Arab Saudi dan India menarik balik beberapa penentuan tersebut dan penggunaan Blackberry diteruskan mengikut lunas-lunas biasa,” katanya.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan Dewan bahawa sebarang salah guna media elektronik seperti emel dan SMS untuk menyebarkan kandungan lucah, jelek dan menyakitkan hati seseorang boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 211 dan Seksyen 223 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM50,000 dan penjara tidak lebih setahun.

Mereka juga boleh didakwa mengikut Akta Hasutan 1948 dan Kanun Keseksaan di bawah Kementerian Dalam Negeri, kata Rais.

Beliau berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) akan sentiasa bertindak mengikut peruntukan-peruntukan tersebut sekiranya terdapat aduan mengenai salah guna media elektronik berkenaan

No comments

Powered by Blogger.