Sultan Kelantan Tarik Balik Anugerah Datuk Daripada Ibrahim Ali

KOTA BAHARU, 13 Okt (Bernama) -- Sultan Kelantan Sultan Muhammad ke-V menarik balik anugerah dan darjah kebesaran daripada empat individu termasuk gelaran Datuk kepada Anggota Parlimen Pasir Mas, Ibrahim Ali,59, dan bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Wan Hashim Wan Daud, 64.

Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Mohd Aiseri Alias berkata dua lagi individu adalah kerabat Istana Kelantan iaitu Tengku Mohamed Shafie Tengku Ibrahim, 65, dan Tengku Abu Bakar Tengku Mansor, 45.

Ketika mengumumkan perkara itu pada satu sidang akhbar di sini Rabu, beliau bagaimanapun tidak menjelaskan sebab penarikan balik itu dibuat.

"Penarikan balik ini adalah hak Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad Kelima Al Sultan Kelantan yang dijalankan menurut hemah dan budi bicara," kata Mohd Aiseri.

Di KUALA LUMPUR, Ibrahim yang juga Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), berkata beliau menerima dengan hati terbuka penarikan darjah kebesaran itu, yang dikurnia oleh Sultan Kelantan sebelum ini, Sultan Ismail Petra.

Menurutnya beliau belum menerima sebarang surat rasmi daripada Istana Kelantan mengenai penarikan itu dan dengan tidak mengetahui puncanya.

"Saya hanya mengetahui penarikan itu apabila diberitahu oleh pihak media pagi ini," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.

Beliau berkata penarikan itu tidak menghalangnya daripada terus mempertahankan institusi raja dan akan sentiasa taat kepada Sultan Kelantan.

Ibrahim berkata selain darjah kebesaran yang ditarik balik itu, beliau pernah menerima anugerah lain iaitu Datuk Paduka Mahkota Selangor dan Darjah Mulia Seri Melaka yang kedua-duanya membawa gelaran Datuk.

-- BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.