Bekas Pembantu Taib Mahmud Ditemui Mati Dalam Bilik

KUALA LUMPUR, 13 Okt – Ross Boyert, 60, bekas pembantu Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Taib Mahmud di Amerika Syarikat, ditemui mati dalam bilik di sebuah hotel di Los Angeles minggu lalu.

Blog portal Sarawak Report melaporkan, Ross Boyert ditemui mati dengan beg diikat di kepala dan spekulasi timbul kemungkinan beliau membunuh diri.

Bagaimanapun, koroner di bandar raya berkenaan enggan mengesahkan punca kematiannya dan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian.

Ross Boyert meninggalkan seorang isteri seorang anak perempuan. Ross berkhidmat hampir 12 tahun sebagai pengurus kepada hartanah merangkumi blok pejabat dan perumahan milik keluarga Taib di San Francisco, California dan Seattle.

Hartanah milik keluarga yang diurusnya termasuk kompleks berkeselamatan tinggi Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) yang terletak di Bangunan Abraham Lincoln di Seattle, di mana beliau diberikan pelepasan keselamatan peribadi maksimum untuk bebas keluar masuk bangunan tersebut.

Laporan Sarawak Report baru-baru ini mendedahkan bahawa Taib secara rahsia menjadi pemegang saham terbesar dalam syarikat Sakti International yang memiliki kebanyakan bangunan hartanah yang diuruskan oleh Ross Boyert.

Bagaimanapun senarai daftar rasmi pemegang saham syarikat berkenaan secara rasminya menamakan ahli keluarga Taib yang terdiri daripada Rahman, Mahmud dan Jamilah Taib bersama bapa saudaranya Arip dan Onn Mahmud.

Tugas Ross termasuk membaik pulih dan menyewakan hartanah milik Taib, terutamanya blok yang menempatkan ruang pejabat di 260 California Street yang terletak di tengah-tengah bandaraya San Francisco.

Beliau mula berkhidmat menggantikan Rahman Taib yang dikatakan gagal menguruskan dengan baik bangunan tersebut sehingga menanggung kerugian dan berjaya memajukan perniagaan hartanah milik Taib sehingga mencatatkan keuntungan sehinggan USD80 juta sehingalah beliau meninggalkan syarikat berkenaan pada 2006 lalu.

No comments

Powered by Blogger.