Kes Aminulrasyid: 15 kelongsong, 2 anak peluru ditemui

SHAH ALAM: Seorang pegawai penyiasat tempat kejadian jenayah (CSI) hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini terdapat 15 kelongsong peluru dan dua serpihan anak peluru ditemui sepanjang laluan insiden kes kematian remaja Aminulrasyid Amzah.

Inspektor Mazli Jusoh, pegawai CSI daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam dalam keterangannya berkata, hasil siasatan unit forensik menemui dan mengumpul bukti terbabit di sepanjang jalan daripada Bulatan Kayangan sehingga Jalan Tarian disini.

Saksi ke-25 itu turut mengesahkan kepada mahkamah hasil pemeriksaan pada kereta Proton Iswara putih mendapati tiada kesan pengunduran kereta berdasarkan kesan corak tayar yang terdapat pada tanah mahupun geseran pada dinding sehingga kereta itu melanggar pokok dan melanggar tembok dinding rumah di No.2 Jalan Makyong 11/2G disini.

"Berdasarkan kesan perlanggaran pokok, pada pendapat saya kereta ini dalam keadaan laju dan pergerakannya lurus kemudiannya terus melanggar pokok menyebabkan pergerakan kereta berubah arah dan menghala ke tembok dinding rumah.

"Kereta kemudiannya melanggar tong sampah plastik yang ada dihadapan tembok dinding sehingga ia berhenti dalam kedudukannya yang terakhir," katanya semasa diminta mengecam gambar bukti oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar.

Keterangan Mazli itu sekaligus bercanggah dengan dakwaan pihak polis kepada media sebelum ini yang mengatakan kereta dipandu Aminulrasyid itu berundur dan cuba untuk melanggar anggota peronda sehingga memaksa mereka melepaskan tembakan sebagai memepertahankan diri.

Kenyataan Mazli itu juga menguatkan dakwaan penumpang yang juga rakan Aminulrasyid pada malam kejadian kepada pihak media menafikan dakwaan polis itu dan berkata bahawa rakannya itu telah pun terkulai dipangkuannya sebelum kereta melanggar pokok.

Hasil pemeriksaan Mazli selama kira-kira dua jam bagaimanapun turut mendapati tiada sebarang cukai jalan dipamerkan di cermin hadapan kereta itu.

Mazli dalam keterangannya juga berkata, diawal kedatangannya ke tempat kejadian mendapati mayat Aminulrasyid berada dalam keadaan telingkup (dada rapat ke lutut) di tempat duduk pemandu sebelum mengalihkan badan mangsa dalam kedudukan biasa.

IMG00200-20101110-1031Suasana mahkamah menjadi sayu seketika apabila Mazli tidak dapat menahan sebak apabila memberitahu mahkamah mayat magsa berada dalam keadaan menyedihkan.

Mahkamah kemudiannya ditangguhkan setengah jam bagi memberi masa kepada Mazli untuk bertenang sebelum menyambung keterangannya.

Beliau kemudiannya memberitahu mahkamah kedudukan mayat telah diubah oleh polis peronda dan pihak ambulans sebelum beliau memulakan proses pemeriksaan dan pengumpulan bukti.

Perbicaraan disambung 22 November depan bagi mendengar keterangan dua lagi saksi pegawai penyiasat polis daripada IPD Shah Alam sebelum mendengar keterangan saksi daripada penumpang kereta yang juga rakan Aminulrasyid, Azamudin Omar.

Koperal Jenain Subi, 48, didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid antara pukul 1.10 dan 2 pagi, 26 April lalu di Jalan Tarian Seksyen 11 disini.

Jenain dibicarakan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Beliau diwakili peguam Salim Bashir dan M Athimulan.

No comments

Powered by Blogger.