NS Mahu Bentuk Pasukan Bola Sepak Ala Real Madrid

SEREMBAN, 11 Nov (Bernama) -- Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) sedang mencari bakat baru bagi membentuk pasukan impian yang layak digelar 'The Real Madrid of Malaysia'.

Gelaran ala pasukan gergasi Sepanyol itu diberikan oleh Presiden PBNS Datuk Seri Mohamad Hasan yang yakin dapat dicapai melalui beberapa program untuk memperkasakan pasukan negeri itu.

"Kita akan cari bakat baru melalui penubuhan sekolah tunas harapan di setiap daerah bagi melahirkan pemain pelapis yang berasal dari negeri ini," katanya kepada pemberita selepas majlis jamuan tengah hari bersama pasukan bola sepak negeri pada hari Khamis.

Bagi mempersiapkan pasukan menghadapi musim baru Liga Super Januari depan, katanya, PBNS akan menganjurkan Kejohanan Piala Yang DiPertuan Besar dengan mempelawa kelab tempatan dan kelab Palembang dari Indonesia.

"Kita anjurkan pertandingan itu secara karnival bagi menguji kemampuan pasukan negeri selepas terlepas Piala Malaysia kepada Kelantan musim ini ," jelasnya.

Bagi musim akan datang, Mohamad, yang juga Menteri Besar, menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk pasukan negeri itu iaitu merampas semula Piala Malaysia, mengekalkan penguasaan Piala FA dan menjadi juara Liga Super.

Katanya Wan Jamak Wan Hassan akan kekal sebagai jurulatih pasukan negeri itu untuk musim depan dan membayangkan beberapa pemain akan digugurkan dari skuad Liga Super bagi menghadapi musim baru nanti.

No comments

Powered by Blogger.