MP BN: Peniaga Melayu mahu jaminan

Oleh Muda Mohd Noor

PARLIMEN KUALA LUMPUR: Seorang penyokong kerajaan hari ini mahu kerajaan memberi jaminan kepada orang Melayu supaya dapat menjalankan perniagaan secara kekal di komplek-komplek perniagaan besar khususnya di ibu kota ini.

Datuk Baharum Mohamad (BN-Sekijang) berkata, jika jaminan tidak diberikan nasib mereka akan menjadi tidak menentu seperti mana peniaga Melayu di KLCC dipinggirkan oleh pihak pengurusan pusat membeli belah terbesar itu.

"Di KLCC, ada peniaga Melayu yang menjalankan perniagaan di situ telah dipinggir dan dikeluarkan. Manakala di Alamanda, Putrajaya seorang usahawan Bumiputera telah diarah keluar kerana tidak dapat mencapai jualan RM100,000 sebulan sebagaimana ditetapkan oleh pihak pengurusan.

"Mereka diarah keluar bukan kerana tidak membayar sewa tetapi kerana tidak boleh menjual RM100,000 sebulan," katanya dalam perbahasan sidang Dewan Rakyat hari ini.

Sehubungan itu, kata Baharum, peniaga Bumiputera mesti diberi tempat dan diberi jaminan supaya nasib mereka terbela.

"Saya mahu tanya pihak mana yang akan memberi jaminan kepada mereka. Saya tidak mahu mereka dihalau dan tidak ada pihak yang membela mereka," katanya.

Katanya, bagi peniaga besar yang boleh menjual dengan jumlah yang besar perkara ini tidak menjadi masalah tapi bagi peniaga Melayu yang baru bermula, yang baru merangkak ia menjadi satu masalah kepada mereka.

Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) dalam perbahasan itu mencelah sebelum ini orang Umno kata kerajaan Pulau Pinang meminggirkan peniaga Melayu.

"Putrajaya adalah kawasan Setiausaha Agung Umno (Datuk Seri Tengku Adnan Mansor) dan KLCC milik Petronas. Jadi dalam hal ini siapakah yang meminggirkan peniaga Melayu?," soal beliau.

No comments

Powered by Blogger.