MKN Kelantan Siap Sedia Hadapi Gelombang Kedua Banjir

KOTA BAHARU, 11 Nov (Bernama) -- Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Kelantan sudah bersedia menghadapi kemungkinan berlakunya gelombang kedua banjir pada musim tengkujuh tahun ini selepas gelombang pertama yang melanda tiga jajahan di negeri itu berakhir minggu lepas.

Pengarahnya Roslee Mamat berkata ini berdasarkan kadar taburan hujan yang belum turun sepenuhnya pada tahap 39 peratus lagi.

"Berdasarkan kajian Jabatan Meteorologi, peratus curahan hujan dalam gelombang pertama banjir di Kelantan berakhir minggu lepas sebanyak 61.68 peratus dan kita tidak menolak kemungkinan Kelantan akan mengalami beberapa lagi gelombang banjir tahun ini," katanya kepada Bernama di sini Khamis.

Roslee berkata semua jentera bantuan banjir masih diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga bagi menghadapi kemungkinan banjir.

Dalam persiapan kemungkinan banjir itu, MKN akan menyediakan empat lori tujuh tan bagi membawa mangsa banjir di kawasan strategik yang terputus hubungan akibat jalan ditenggelami banjir.

Sebanyak 722 pusat pemindahan banjir yang mampu menampung 105,000 mangsa banjir telah dikenal pasti manakala kem tentera di Pengkalan Chepa di sini dicadang sebagai pusat pendaratan helikopter jika semua kawasan dinaiki air untuk menjalankan kerja menghantar bantuan dan menyelamat mangsa banjir.

No comments

Powered by Blogger.