1Malaysia: Harga didahulukan, Nilai diperlekehkan
Lim Hong Siang
Bukan Melayu sahaja, tetapi 1Malaysia memasuki zaman harga didahulukan, nilai diperlekehkan. Manusia dilatih untuk menyukat dan mengukur berdasarkan harga, tetapi gagal membezakan antara yang benar dengan yang salah. Manusia sebagai insan dalam masyarakat ini kehilangan keupayaannya untuk menilai apa yang harus dan sebaliknya, tetapi sekadar mampu untuk bertanya berbaloi atau tidak.
Saya tidak pasti sama ada "lonjakan nilai" yang diperhatikan Hishamuddin Rais ini hasil daripada Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dijulang United Malays National Organisation (UMNO), dan saya gagal meramalkan apakah pula bentuk masyarakat 1Malaysia pada hari ini jika tanpa DEB. Namun, saya amat yakin bahawa krisis nilai turut melanda masyarakat bukan Melayu, sekurang-kurangnya masyarakat Cina.
Untuk saya, sesebuah masyarakat masih tidak berada pada tahap paling bahaya jikalau hitam diputihkan dan putih dihitamkan. Ia sekadar munafik namanya apabila seseorang itu mengingkari naluri hatinya - sama ada disebabkan beliau tunduk kepada realiti mahupun goyah kerana tekanan. Namun, kayu ukur masih berada dalam genggamannya - seseorang itu sedar mana yang betul dan mana yang salah - cuma beliau tidak memilih yang betul mengikut hatinya.
Tetapi sesebuah masyarakat akan berada pada tahap yang paling bahaya apabila hitam dan putih dikelabukan. Ia berlaku apabila seseorang itu tidak berpegang, malah bersahaja dengan apa yang benar dan apa yang salah. Garis yang membezakan antara yang benar dengan yang salah dikaburkan begitu sahaja. Pada hakikatnya, kita tidak perlu menunggu sehingga tahun 2019 untuk menjadi muflis dari segi nilai. Kita telah bankrap nilai pada detik saat kita tidak percaya apa-apa.
Penduduk Taiwan bangkit menjulang nilai
Sekali imbas, masyarakat Cina di merata dunia amat terharu pada September 2006, apabila jutaan penduduk Taiwan bangkit untuk menjatuhkan Chen Shui-bian, Presiden Taiwan pada ketika itu yang terpalit dengan amalan nepotisme, membabitkan isteri dan menantu Chen Shui-bian. Penduduk Taiwan menyarung jersi berwarna merah, mengepung kediaman rasmi Chen dalam hujan, tak kira siang mahupun malam - menuntut agar Chen berundur dari jawatannya segera!
Angka rasuah yang terbabit sememangnya gagal menandingi komisen yang dipunggah ketika Malaysia membeli kapal selam Scorpene. Namun di sini hebatnya ketamadunan sesebuah masyarakat yang tidak sekadar menyoal "berbaloi atau tidak". Antara mereka yang menyertai perhimpunan dan perarakan aman ini termasuklah golongan pendidik. Ketika ditanya, dengan jujur mereka berkata, "Kami menghadapi kesukaran untuk mendidik anak murid kami, jikalau kita membenarkan Presiden yang tidak jujur dan tidak tahu malu ini untuk terus kekal pada jawatan tersebut."
Mahu atau tidak, sama ada kamu memangkahnya atau tidak pada kertas undi, Presiden adalah lambang sesebuah negara yang terpilih melalui sistem demokrasi (dalam konteks Taiwan). Penduduk Taiwan akhirnya tidak rela diwakili seorang Presiden yang muflis nilainya - kerana terlibat dalam rasuah, malah enggan memohon maaf dan meletak jawatan selepas terdedah kesalahannya.
"You help me, I help you"
Tanpa berselindung penganalisa, pemerhati politik, kolumnis dan wartawan media cetak bahasa Cina tempatan menzahirkan kekaguman mereka terhadap tekad penduduk Taiwan, yang tidak berganjak selangkah pun untuk mempertahankan benteng ketamadunan mereka. Pujian dan sanjungan dikalung-kalungkan pada leher Shih Ming-teh (gambar kanan, bawah), pemimpin gerakan sosial Taiwan untuk menolak rasuah dan mendesak agar Chen Shui-bian berundur.
Media cetak bahasa Cina Malaysia terbeliak dengan ketegasan rakyat Taiwan untuk menolak rasuah, mengangkat nilai kejujuran dan menjulang keadilan. Jelas, itu bukan soal "harga" rasuah, tetapi maruah yang berlandaskan nilai.
Demonstrasi menggulingkan Chen Shui-bian berlaku sebelum tsunami politik pada 8 Mac 2008. Saya masih teringat bagaimana pembangkang kita pada ketika itu cuba menyamakan Khairy Jamaluddin dengan menantu Chen. Malah, sesetengah masyarakat Cina yang teruja dengan demonstrasi di Taiwan, turun ke gelanggang untuk menyertai perhimpunan BERSIH pada tahun 2007. Dan di sini berlakunya sesuatu yang meluat dalam media cetak bahasa Cina.
Apabila kaum Cina buatan Malaysia turun ke jalan raya untuk menuntut sistem pilihan raya yang adil dan bersih, media cetak tempatan bahasa Cina pula membuat liputan dari persektif bagaimana demonstrasi ini mengakibatkan kesesakan jalan raya - jauh terbabas dari tema asalnya. Nilai keadilan yang cuba ditegakkan di sepanjang jalan menuju Istana Negara dibingkaikan menjadi gambar kesesakan kereta yang tidak bernyawa di muka akhbar.
Peristiwa yang menjijikkan ini tidak berhenti begitu sahaja. Apabila Perdana Menteri Najib Razak tanpa segan silu menyogok pengundi Rasa dengan janji peruntukan RM3 juta kepada Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (c) Rasa sebelum hari pengundian PRK Hulu Selangor, dan menyerahkan cek selepas itu walaupun hilang sokongan Cina - ia dilaporkan dari perspektif "PM tunai janji". Dengan kata lain, RM3 juta yang gagal untuk membeli hati pengundi, cukup pula untuk menggadaikan nilai kejujuran!
Belum lagi dengan ungkapan terkenal Najib berbunyi "You help me, I help you" ketika PRK Sibu, yang telah menodai nilai saling membantu dalam Pendidikan Moral. Saya tidak berminat untuk menyindir Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan mencadangkan agar ungkapan Najib ini dijadikan iklan membanteras rasuah, saya cuma ingin bertanya kepada guru besar dan guru sekolah, bagaimana anda mendidik anak murid anda untuk bersikap jujur dan bersih, apabila kita menggantung gambar pemimpin sebegini rupa pada dinding sekolah?
Masyarakat muflis nilai
Di sini ranapnya ketamadunan masyarakat kita. Apabila Barisan Nasional dilemparkan tuduhan rasuah, ia akan dibalas dengan "Pakatan Rakyat rasuah juga". Akhirnya yang dibandingkan adalah harga - angka tawaran / sogokan mana yang lebih lumayan, jarang sekali ditimbang mana yang lebih berat dosanya. Ia berbalik kepada ukuran harga, dan nilai "kejujuran" terus diperlekehkan.
Lama-kelamaan ia menjadi kebiasaan. Setiap anggota masyarakat cuba membiasakan diri dengan rasuah, dan kemudiannya jenayah seperti rogol dan bunuh - seolah-olah rasuah bertujuan untuk membantu seandainya dihulurkan dari tangan Perdana Menteri; seakan-akan jenayah hanyalah cerita lama apabila masa berlalu. Duit kopi bukan rasuah jika ia bernama komisen, pembunuhan menjadi perkara kecil jika mayat diletupkan menggunakan C4.
Sikap sedemikianlah yang membantutkan diri kita - kita sekadar mampu untuk mengkagumi demokrasi negara lain, tetapi tidak sesekali memperjuangkannya di bumi yang dipijak.
Untuk saya, masyarakat kita ini semakin cetek untuk mendalami sesuatu yang gagal dilihat mata kasarnya - perspektif yang semakin sempit apabila menilai segala-galanya dengan "harga". Otak masyarakat 1Malaysia tergendala apabila disumbat dengan angka dan huruf besar seperti NEM, ETP, NKEA, NKRA dan sebagainya. Maka 1Malaysia sujud berkiblatkan angka dan harga. Mereka bangkit menumbuk udara melaungkan "Ketuanan Melayu". Bermati-matian mereka berperang menuntut kuota 30% , 51% atau 67%.... Mereka ghairah menyifatkan pemansuhan duti import seluar dalam berjenama dalam Belanjawan 2011 sebagai mesra rakyat, tanpa belas kasihan sehiris pun kepada golongan berpendapatan rendah yang terpaksa berhempas pulas membanting tulang untuk tepung susu bayinya...
Demi "harga" kita gadaikan "nilai" - demi peruntukan bangunan sekolah kita gadaikan jiwa pendidikan yang sebenarnya. Saya gagal melihat di manakah masa depan masyarakat 1Malaysia seandainya kita dahulukan harga dari nilai, utamakan angka dari jiwa. Percayalah, bangunan seutuh manapun bakal ranap jika ditimpa bencana. Cuma, seandainya ketamadunan 1Malaysia begitu rapuh sehingga hancur berkecai hanya dengan tusukan satu jari telunjuk, bagaimanakah agaknya kita mendirikan jiwa yang roboh di atas Menara 100 tingkat yang mencakar langit?
*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia.

No comments
Post a Comment