Adun BN cuba politikkan isu jejantas

(MPP) Zon 18 yang bermesyuarat 14 Januari lalu, melahirkan rasa kesal akan kenyataan Johan dalam akhbar Utusan Malaysia

SEMENYIH, 16 Jan – Mesyuarat Majlis Perundingan Penduduk (MPP) Zon 18 yang bermesyuarat pada 14 Januari lalu melahirkan rasa kesal akan kenyataan Datuk Johan Abdul Aziz yang diulas dalam akhbar Utusan Malaysia mengenai isu jejantas Semenyih.

Johan ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Semenyih daripada Barisan Nasional (BN).

Ahli Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), S.Arutchelvan mendakwa, Johan telah terpesong dalam isu tersebut yang sepatutnya membawa kebaikan kepada penduduk.

“Johan berkata, jejantas itu tidak dibina kerana isu iklan kubur Cina dekat kawasan masjid, sedangkan MPP berpendapat, alasan itu langsung tidak boleh diterima pakai kerana isu dibincang adalah isu keselamatan kanak-kanak dan orang awam.

“Mereka mempersoalkan yang mana lebih penting, iklan atau nyawa?” kata Arutchelvan dalam kenyataan medianya semalam.

Pada 8 Januari lalu, Johan mendakwa, punca Jabatan Kerja Raya (JKR) masih tidak memberi kelulusan pembinaan jambatan oleh pihak swasta itu adalah kerana ia ditaja syarikat yang menyediakan perkhidmatan pengkebumian kaum Cina tetapi meletakkan syarat, iaitu iklan mengenai syarikat itu dibenarkan dipasang pada jejantas berkenaan selama 25 tahun.

Dalam kenyataan yang dilaporkan di Utusan Malaysia itu, Johan mendakwa hal ini tidak wajar kerana jejantas itu berdekatan dengan kawasan masjid.

Arutchelvan yang juga Pengerusi MPP Zon 18 berkata, sepanjang mesyauarat di MPKj, pihak JKR tidak pernah menimbulkan isu tentang kandungan iklan jejantas tetapi hanya mengenai isu tempoh masa pengiklanan yang perlu diberi.

“Mungkin Johan tidak nampak ada satu iklan besar mengenai Taman Peringatan Nirvana di jalan hadapan Masjid Semenyih dan sehingga kini tidak ada pihak yang menimbulkan hal tersebut,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.