Al Kisah Pemaju Yang Bodoh

Maju Holdings diberi 14 hari ubah tembok


KUALA LUMPUR, 7 Jan — Kerajaan akan memberikan notis 14 hari kepada syarikat Maju Holdings Sdn Bhd supaya meruntuhkan kembali tembok yang dibina di atas tanah diperuntukkan untuk pembinaan kawasan rekreasi orang ramai.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata walaupun tanah itu adalah milik Maju Holdings, mereka tidak boleh membina apa-apa binaan lain selain tujuan asalnya iaitu sebagai kawasan riadah bagi penduduk.

“Mereka perlu mengalih tembok itu keluar dari kawasan tanah berkenaan sebelum sebarang tindakan ke atas syarikat itu diambil,” katanya kepada pemberita selepas meninjau operasi Bangunan Terminal Bersepadu Selatan-Bandar Tasik Selatan (TBS-BTS) di sini hari ini.

“Kerajaan tidak berganjak dengan keputusan ini dan mereka perlu mengubah semula lokasi tembok itu,” katanya.

Kemelut bermula pada Ahad lalu apabila kira-kira 200 wakil penduduk, parti politik Barisan Nasional (BN) dan pembangkang mengadakan demonstrasi membantah pembinaan lima buah banglo oleh Pengerusi Eksekutif Kumpulan Maju Holdings Tan Sri Abu Sahid Mohamed di atas kawasan tanah berkenaan berhampiran TBS-BTS.

Nong Chik berkata pihak syarikat perlu peka akan keperluan rakyat yang sudah menunggu lama untuk sebuah kawasan rekreasi di tanah itu.

Sementara itu, Abu Sahid berkata kerajaan tiada hak untuk mengambil tanah berkenaan kerana tanah itu adalah miliknya sejak mula memajukan Bandar Tasik Selatan lebih 30 tahun lalu.

“Tanah yang dipertikaikan adalah di bawah Fasa 6 pembangunan bandar ini yang pada mulanya dikhaskan untuk pembangunan 2,033 unit apartmen namun saya menukar rancangan untuk membina banglo ini,” katanya.

Beliau berkata jika pembinaan apartmen itu berjalan seperti dirancang, barulah pihaknya akan menyerahkan tanah itu untuk kawasan rekreasi seperti yang dirancang sebelum ini.

“Sekarang ini, saya bina banglo kenapa saya perlu serahkan? Itu hak saya,” katanya.

Terdahulu, Nong Chik meninjau operasi terminal berkenaan yang sudah beroperasi sejak Sabtu lepas dan mengadakan perbincangan dengan wakil penduduk dan Maju Holdings mengenai isu pembinaan banglo itu.

Menyentuh mengenai isu operasi di TBS-BTS yang masih bermasalah, Nong Chik berkata pihak Kementerian Pengangkutan dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan sudah mengambil langkah bagi menyelesaikan masalah itu. — Bernama

No comments

Powered by Blogger.