ANAK : Isa Samad digesa tarik balik ugutan kakitangan FELDA

KUALA LUMPUR, 12 Jan – Pengerusi baru FELDA, Tan Sri Isa Samad digesa menarik balik ugutan terhadap kakitangan agensi tersebut.

Perkara ini dinyatakan Pengerusi Persatuan Anak Peneroka FELDA Kebangsaan (ANAK), Mazlan Aliman yang berkata, sekiranya Isa enggan berbuat demikian, pihaknya akan menimbangkan untuk membuat laporan polis terhadap Isa.

“Saya minta Tan Sri Isa Samad menarik balik kenyataan beliau dan jika tidak, kita akan buat laporan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana secara jelas beliau menggunakan kuasa sebagai pengerusi Felda untuk mengugut kakitangan Felda,” kata beliau lapor Harakahdaily.

Isa dilaporkan mengugut untuk memecat mana-mana kakitangan FELDA yang didapati menyokong Pakatan Rakyat dalam pertemuan sulungnya dengan seluruh kakitangan Syarikat itu di Dewan Merak Kayangan, Jalan Gurney, dekat sini Ahad lalu.

Mazlan yang juga Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah dan Peneroka Bandar PAS juga berkata, tindakan Isa itu membuktikan bahawa beliau memang dihantar oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk meraih sokongan kakitangan FELDA yang dilihat semakin cenderung kepada Pakatan Rakyat.

“Saya yakin Isa Samad dihantar oleh Najib Razak untuk menyampaikan maksud agenda politik BN kepada masyarakat khususnya warga FELDA supaya mereka mengekalkan sokongan kepada BN.

“Ini suatu usaha terdesak BN kerana mereka dapat rasakan suasana hari ini sukar untuk BN dapatkan sokongan FELDA,” katanya.

Sambil menyifatkan ia sebagai tindakan bodoh Isa, Mazlan mengingatkan kakitangan FELDA agar tidak takut dengan ugutan itu.

“Ini tindakan bodoh beliau sebagai pengerusi FELDA. Beliau tak perlu nak beri amaran atau dan ajar kakitangan macam bapa nak marah anak.

“Saya ingin tegaskan kepada kakitangan FELDA, mereka jangan bimbang dan takut untuk berikan sokongan kepada Pakatan Rakyat kerana ia adalah hak individu.

“Setiap rakyat berkuasa menyokong mana-mana parti politik cuma tinggal lagi bagaimana nak menyesuaikan diri dengan amalan demokrasi iaitu tak boleh campur aduk kerjaya dengan politik,” katanya.

Tambahnya, tindakan Isa itu juga akan menjejaskan prestasi kakitangan FELDA yang seharusnya tidak dilibatkan dalam agenda politik BN.

“Daripada awal saya tidak bersetuju orang politik pegang jawatan sebagai pengerusi FELDA sebab ia akan jejaskan hubungan baik antara pengerusi dengan kakitangan.

“Apabila beliau memberikan ugutan begini ia akan menjejaskan prestasi, beri kesan kepada perasaan dan keyakinan kakitangan terhadap profesion mereka.

“Saya yakin 23 ribu kakitangan FELDA, sebahagian besar daripada mereka bersikap profesional dan mempunyai etika. Mereka fokus kepada kerja mereka tapi saya sedih kerana mereka menjadi mangsa orang-orang politik yang terdesak,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.