Bimbang Pak Shukor ...

Oleh DINSMAN


Penulis cerpen, esei dan wartawan veteran Shukor Harun dalam nada bimbang dan sedih mengatakan: “Suasana perkauman di negara kita sekarang sangat membimbangkan dan sangat merbahaya.” Beliau berkata demikian di hadapan para penulis dan wartawan yang memenuhi tingkat atas Rumah Pena, dalam sidang akhbar Seniman Paksi Rakyat Malaysia (Paksi) mengenai isu yang ditimbulkan oleh seorang Timbalan Menteri terhadap novel Interlok karya Sasterawan Negara Abdullah Hussein, Rabu 5 januari lalu.

Kenyataan Shukor Harun itu sebagai menjelaskan lagi kenyataan rasmi Paksi yang saya bacakan dalam siding itu, yang antara lain menyatakan:

“Masyarakat kita hari ini masih tebal dengan pemikiran dan sikap prasangka perkauman. Masing-masing berfikir untuk kepentingan politik masing-masing, bukan untuk kepentingan nasional.

“Berbanding dengan dulu, pemikiran dan sikap prasangka perkauman kita sekarang lebih teruk. Isu yang ditimbulkan sekitar novel ini menjadi buktinya. Dulu tak apa-apa. Tak ada pembaca yang tersinggung, baik India, Melayu mahupun Cina; sedangkan kalau nak difikir secara prasangka perkauman, dulu lagi isu ini boleh timbul.”

Kenyataan rasmi Paksi itu diakhiri dengan satu seruan yang ditujukan khas kepada rakan-rakan penulis dan budayawan, iaitu: “Paksi juga menyeru rakan-rakan penulis dan budayawan supaya memainkan peranan untuk menjernihkan suasana dalam masyarakat, dan memberi penjelasan kepada yang mengelirukan, supaya masyarakat tidak berfikiran dan bersikap prasangka perkauman.”

Paksi membuat seruan demikian kepada golongan penulis dan budayawan kerana isu yang ditimbulkan di sekitar novel Interlok itu secara jelas melibatkan mereka, atau mengheret mereka ke dalamnya, samada mereka mahu ataupun tidak.

Tidak tahu samada Pena (Persatuan Penulis Nasional) bersetuju atau tidak dengan sikap dan tindakan yang diambil oleh Paksi. Namun kesudian mereka bekerjasama, dengan membenarkan Paksi menggunakan ruang rasmi mereka untuk sidang akhbar itu, sekurang-kurangnya menunjukkan sikap mereka yang terbuka. Dan apalagi beberapa orang jawatankuasanya sendiri turut hadir dalam majlis tersebut, termasuk Presidennya Mohd Saleeh Rahamad dan setiausaha agungnya SM Zakir. (Terima kasih!)

Hanya yang sangat mendukacitakan ialah tokoh-tokoh veteran budaya yang berada dalam kepimpinan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) itu. Bukan sahaja mereka dilihat tidak berusaha untuk tolong menjernihkan suasana supaya masyarakat kita tidak keliru dan tidak berfikiran serta bersikap prasangka perkauman, bahkan mereka dilihat bertindak sebaliknya, iaitu turut membantu pihak yang sengaja mendorong kepada faham perkauman yang disifatkan Shukor Harun sebagai “sangat membimbangkan dan sangat merbahaya” itu.

Dan oleh kerana tokoh-tokoh veteran (yang presidennya barangkali sudah memecah rekod dunia sebagai presiden paling lama berkuasa) yang memimpin Gapena itu bersikap demikian, maka kaum kerabat mereka persatuan-persatuan penulis di negeri-negeri pun turut samalah bersikap demikian. Aduhai!... macamana tu Pak Shukor?

Bahkan khabarnya hinggakan dalam usaha jahat Umno/BN nak merampas kuasa kerajaan Selangor itu pun dikatakan ada juga di antara veteran-veteran itu yang turut terlibat. Betulkah? Aduuh, memang “membimbangkan dan sangat merbahaya” itu! Mereka diharapkan untuk menjernihkan suasana dan menjelaskan mana yang mengelirukan. Tetapi lihatlah apa yang mereka buat? Mereka pun ikut sama di dalam gerombolan yang sedang memporak-perandakan masyarakat kita.

Hairan ya! Sampai begitu sekali rakus jadinya orang-orang yang memimpin Umno-BN itu, hingga tak mengenal undang-undang dan peraturan lagi, sanggap dilanggar asalkan dapat dirampasnya kuasa itu – pun masih ada rakan-rakan kita penulis dan budayawan yang sanggup bersekongkol dan bersyubahat. Hairan!

Tetapi tak mengapalah! Seperti kata orang muda dalam Paksi sendiri: Kita tak usah risau sangat dengan veteran-veteran itu. Lebih baik kita tumpukan perhatian kepada orang-orang muda, kerana orang mudalah yang akan menentukan masa depan sastera dan budaya kita.

Dan katanya lagi: “Macam himpunan seniman-budayawan kita di Kampung Bandar Dalam hari itu, ramai anak-anak muda yang hadir dan mengisi program. Mereka ini yang akan mewarisi seni-budaya kita di masa depan. Orang-orang veteran itu semua, termasuk yang dalam Paksi pun, tak lama lagi akan pergilah.”

(Ya, betul tu. Tak perlu tanyalah akan pergi ke mana ya! Fahamlah. Termasuk sayalah tu!)

Hanya yang veteran seperti A Samad Said itu yang kita ra’ikan, kerana semangatnya yang sentiasa muda dan sentiasa bersama rakyat. Pada 23 Januari ini pun, Samad Said telah memberikan janjinya akan hadir di Tenang, menyertai “Forum Interlok” yang akan dianjurkan oleh Paksi dan Budayawan Bertindak, bagi menjelaskan kedudukan seni dan karya sastera yang sewajarnya, agar tidak selalu dimanipulasi oleh pihak-pihak yang berkepentingan tertentu (bukan kepentingan nasional) dalam politik kita.

Penulis cerpen dan esei SM Zakir juga akan hadir menyertai forum ini. Walaupun kehadirannya bukan sebagai Setiausaha Agung Pena, tetapi sebagai individu, kita sangat menghargainya. Hanya kita menunggu pengesahan daripada seorang lagi panel, iaitu seorang penulis terkenal berketurunan India.

Seperti saya jelaskan dalam sidang media Interlok di Rumah Pena itu, bukan tujuan kita hendak berkempen politik. Kita hadir di Tenang itu kerana di situ orang ramai sedang bertumpu dan berkumpul. Maka eloklah kita ambil kesempatan itu untuk menjelaskan kedudukan dan peranan seni, sastera dan budaya yang sewajarnya. Itu saja.

Kita jemputlah kawan-kawan kita dalam Gapena dan kaum kerabatnya di negeri-negeri, supaya hadir sama di Tenang (mengambil sempena namanya yang tenang itu), agar kita dapat berforum dan berdialog mengenai seni dan budaya, di tengah-tengah kehangatan politik itu, untuk kita mencari kewarasan dan kewajarannya.

(Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.my atau sms 013-6362408)

No comments

Powered by Blogger.