CIJ Kutuk Keganasan Terhadap Jurufoto Bernama

KUALA LUMPUR, 12 Jan (Bernama) -- Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) Malaysia mengutuk tindakan anggota polis bantuan yang didakwa menyerang seorang jurufoto Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) ketika beliau menjalankan tugas pada 9 Jan.

Dalam kenyataan Rabu, CIJ berkata wartawan, jurufoto akhbar dan malah mana-mana individu, tidak patut diganggu dan diugut oleh pihak berkuasa ketika mereka manjalankan tugas.

"Kami menyeru polis menjalankan siasatan menyeluruh dan segera untuk membawa individu terbabit ke muka pengadilan jika didapati perbuatan menyerang dan mengugut itu benar-benar berlaku," katanya.

Dalam kejadian berkenaan, Hairul Nizam Bahrin, 37, ditahan tanpa sebarang sebab oleh anggota polis terbabit dan diugut akan dihumban dari tingkat tiga sebuah bangunan terminal baru.

Hairul Nizam dilaporkan berkata beliau sedang menunggang motosikal untuk pulang ke rumah setelah selesai menjalankan tugas kira-kira pukul 11.45 pagi apabila beliau ditahan beberapa lelaki berpakaian biasa yang mengaku sebagai anggota polis.

Selepas itu, beliau dibawa ke Terminal Bas Bersepadu Baru di Bandar Tasik Selatan dengan tangannya bergari dan kepala bertutup, tanpa mengetahui sebabnya.

Hairul Nizam kemudian membuat laporan di Balai Polis Jalan Tun Razak tentang kejadian itu.

-- BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.