Harimau Malaya: Ada apa dalam nama?

Faisal Mustaffa


Saya mengakui bukanlah peminat bolasepak tegar sungguhpun sekitar hujung 90-an di mana saya sering ke Stadium Shah Alam menyaksikan perlawanan bolasepak pro*.

Mungkin ulasan ini tidak melibatkan secara teknikal perlawanan bolasepak yang mengkhususkan kepada perlawanan akhir Liga Suzuki AFF 2010 baru-baru ini, terutama sekali di antara Malaysia-Indonesia tetapi secara politiknya kemenangan Malaysia yang sememangnya sudah kehausan di kalangan peminat-peminat sukan bolasepak.

Sejak bolasepak dinaikkan taraf kepada pro (selepas 1994), prestasi sukan ini tidak nampak peningkatan. Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kekal bersama Sultan Ahmad Shah.

Presiden FAM dikatakan gagal dalam perkhidmatan beliau selama 25 tahun menerajui sukan popular ini. Di dalam satu lagi kumpulan di dalam laman sosial Facebook yang mendesak presiden FAM letak jawatan, mereka menuntut Sultan Ahmad Shah letak jawatan dan mahukan FAM merombak sistem bolasepak Malaysia ke arah satu industri yang menguntungkan semua pihak.

Laman yang diwujudkan sejak Disember 14, 2009 kini sudah mempunyai keahlian seramai 19,858 penyokong setakat hari ini (Januari 4).

Apabila melihatkan puluhan ribu peminat membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil bagi memberi sokongan kepada pasukan Malaysia, dan seterusnya mengembalikan kegemilangan bolsepak negara, maka bersuaralah ahli-ahli politik.

Kumunduran berpunca daripada politik

Di dalam salah satu laman sosial Facebook lain, didirikan kumpulan yang menuntut agar sukan bolasepak diselamatkan dari pengaruh kerabat raja dan ahli politik.

Kumpulan bertajuk ‘Selamatkan Persatuan Sukan di Malaysia (dari Kerabat Raja dan Ahli Politik)’ menuduh kerabat raja dan ahli politik sebagai punca prestasi sukan di negara ini tidak meningkat. Atau sukar untuk melihat peningkatannya, apapun ulasan mengenai usaha peningkatan tidak diliput di dada media.

Keseriusan mereka hanya dilihat di dalam media apabila kemenangan berpihak kepada mereka.

Sesungguhnya Malaysia mempunyai prestasi untuk bergerak maju atas sejarah pencapaian sebelum ini. Malaysia pernah menjadi antara pasukan terbaik Asia. Malah, hoki negara pada satu ketika dahulu pernah melayakkan diri ke Piala Dunia Hoki.

Di Eropah, contohnya, Michel Platini bekas pemain bolasepak terkemuka di Perancis, bukan sahaja bekas pemain yang dihormati malah pernah juga menjadi pengerusi persatuan bolasepak Perancis (FFF) dan kini menjadi Presiden EUFA.

Penglibatan badan korporat

Usaha Kementerian dalam melibatkan golongan korporat dalam menyumbang kepada industri sukan amat baik seperti Tabung Akujanji ganjaran Piala Suzuki AFF 2010 yang kini sudahpun mencecah puluhan ribu tetapi sering usaha-usaha tersebut menjadi ‘tahi ayam.’

Pada 1998, syarikat Coca-Cola pernah menaja seorang atlit muda Titus James Palani yang berpotensi besar untuk mengikuti latihan di akademi bolasepak La Harve di Peranchis. Harapan negara, apabila pulang nanti, beliau akan berkhidmat dalam bersama-sama menyumbang dalam mengharumkan nama negara.

Kini Titus sudah berusia 24 tahun dan menjadi penyerang untuk kelab bolasepak Villenoy di Peranchis. Beliau kini bersenang-lenang bersama isteri Slyvaine Wairin dan kelabnya sekarang. Kalau hendak dikirakan bakatnya, Titus memang seorang atlit yang berprestasi.

|Namun beliau juga boleh dikategorikan dalam ‘brain drain’ rakyat Malaysia yang enggan pulang ke negara asal.

Dengan kerjasama Telekom Malaysia, AirAsia dan TV3, wujudlah satu pencarian bakat baru lagi – dalam usaha yang sama untuk menaikkan martabat sukan bolasepak negara. MyTeam memberikan ganjaran latihan ke Eropah dan pengalaman bermain dengan pasukan Manchester United. Di manakah para peserta tersebut itu sekarang?

Harimau Malaya

Salah satu subspesis harimau di bumi ini ialah Harimau Malaya dan haiwan tersebut menjadi mascot kepada pasukan bolasepak yang mewakili negara di dalam Piala Suzuki AFF 2010.

Maka, bersuaralah kumpulan-kumpulan lain yang mahukan suara mereka kedengaran yang kononnya tidak menyenangi dengan penggunaan perkataan ‘Malaya’ yang tidak melambangkan nasionalisme.

Jahid Ibrahim, pembantu Menteri Belia dan Sukan yang juga ketua pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) berkata bahawa gelaran ‘Harimau Malaya’ yang dirujuk kepada skuad itu patut digantikan dengan ‘Harimau Malaysia’.

Jahid berkata, “Saya lihat memang ada asas mereka berperasaan begitu kerana ia tidak melambangkan semangat 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Sepatutnya perkataan Harimau Malaysia yang digunakan."

Persoalannya, apa kena mengena Harimau Malaya dengan 1Malaysia? Dan dengan kemenangan ini, adakah kita akan menukarkan subspesis Harimau Malaya di dalam enskilopedia sains kepada Harimau Malaysia juga?

Menamakan pasukan bola kebangsaan dengan nama haiwan tertentu adalah normal dalam bolasepak. Pasukan Filipina digelar ‘Azkal’ yang membawa maksud anjing jalanan dan tidak ada pihak pun yang mempertikaikan walaupun maksudnya agak hina. Indonesia digelar ‘Garuda’ dan walaupun ianya haiwan mitos tetap tidak menjadi masalah. Singapura pula dinamakan ‘The Lions’.

Manakala Iraq digelar ‘Lions of Mesapotamia’, bukannya ‘Lions of Iraq’. Bagi Tunisia pula, mereka menggelar pasukannya dengan nama ‘Les Aigles de Carthage’ (Helang Carthage) walaupun tamadun Carthage itu sudah beribu tahun terkubur.

* Sebelum itu, liga bolasepak kita dikenali sebagai liga bolasepak semi-pro.

No comments

Powered by Blogger.