Interlok: Timbalan presiden MIC nafï dakwaan kompromi pendirian

KUALA LUMPUR, 25 Jan — Timbalan Presiden MIC Datuk Dr S. Subramaniam menafikan dakwaan beliau telah mengkompromikan pendiriannya bahawa novel Interlok perlu ditarik balik daripada menjadi buku teks sastera Tingkatan Lima.

Kata Subramaniam, menerusi semua perbincangan di Kabinet dalam beberapa mesyuarat sebelum ini, beliau dengan tegas menyatakan pandangan masyarakat India, dan impak novel itu terhadap minda masyarakat serta golongan muda.

“Dakwaan yang disebarkan bahawa saya telah berkompromi dengan pendirian saya, dan juga pendirian parti adalah tidak benar sama sekali... saya tidak lari daripada pendirian asal bahawa novel ini patut ditarik daripada digunakan oleh pelajar sekolah,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Subramaniam yang juga Menteri Sumber Manusia dan satu-satunya wakil MIC dalam Kabinet berkata, berulang kali menegaskan pada mesyuarat mingguan jemaah menteri berhubung pendirian masyarakat India bahawa buku berkenaan perlu ditarik balik serta tidak digunakan sebagai buku teks sastera.

“Tidak ada sekelumit kebenaran pun mengenai dakwaan dan khabar angin yang disebarkan berhubung perkara itu,” katanya.

SMS yang disebarkan sejak pagi tadi menyebut Subramaniam telah berkompromi dengan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan telah bersetuju untuk mengeluarkan perenggan tertentu daripada novel tersebut sedangkan masyarakat India mahukan ia ditarik balik.

Semalam, Muhyiddin berkata beliau sudah mempunyai satu formula bagi menyelesaikan isu novel Interlok' dan akan mengadakan perbincangan secara mendalam dengan pemimpin-pemimpin MIC.

Katanya, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Subramaniam, yang sepatutnya diadakan malam tadi, manakala pertemuan dengan presiden parti itu, Datuk G. Palanivel masih belum ditentukan tarikh.

Bagaimanapun pertemuan Muhyiddin dan Subramaniam ditangguhkan sehingga ke satu tarikh kemudian.

“Dalam semangat BN (Barisan Nasional) kita nak berbicara dengan MIC dan saya percaya formula yang akan dikemukakan akan dibincang secara mendalam dalam sehari dua.

“Saya harap apabila diputuskan nanti, perkara ini tidak ditimbulkan lagi kerana apa yang penting ialah semangat bekerjasama dalam konteks Barisan Nasional,” katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata sebelum ini kerajaan memerlukan masa untuk memikirkan pendekatan yang terbaik bagi menyelesaikan isu itu.

Kaum India di Malaysia telah membantah penggunaan novel karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain itu kerana mendakwa ia mengandungi kenyataan yang tidak tepat dan menghina masyarakat berkenaan.

Dalam pada itu, salah seorang naib presiden MIC Datuk S.K. Devamany berkata, beliau menyokong gesaan Palanivel agar novel tersebut ditarik balik.

“Saya menggesa kerajaan mengambil tindakan segera. Kami tidak mahukan perbincangan lanjut.

“Buku itu mesti ditarik daripada digunakan dalam sukatan sastera atas alasan tidak sesuai untuk pelajar,” kata beliau yang juga timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Katanya, pandangan anggota tujuh panel MIC yang turut melahirkan pendirian itu mesti dihormati,

“Perasaan komuniti India mesti dihormati. Masyarakat India marah dengan penggunaan perkataan-perkataan yang ofensif, lebih-lebih lagi dalam buku itu yang digunakan sebagai buku teks sastera,” kata Devamany.

Kata beliau, sudah pasti novel Interlok tidak boleh menggalakkan perpaduan kaum dan ia bertentangan dengan konsep 1 Malaysia.

No comments

Powered by Blogger.