Isu tanah: Saya hanya tindak ikut prosedur, kata calon BN

Oleh Syed Mu’az Syed Putra

LABIS, 25 Jan — Calon Umno-Barisan Nasional (BN) Mohd Azahar Ibrahim menafikan dakwaan bahawa beliau telah gagal “menyelamatkan” tanah milik seorang penduduk di Segamat sehingga menyebabkan tanah tersebut dilelong seperti mana yang didakwa PAS pagi tadi.

Sebaliknya bekas Penolong Pentadbir Tanah Daerah Kecil Rengit itu berkata beliau hanya mengikut prosedur yang telah ditetapkan untuk diikuti seorang penjawat awam.

Pengarah Pilihan Raya PAS kerusi Tenang Salahuddin Ayub berkata, Mohd Azahar gagal berbuat demikian sehingga tanah seorang penduduk tempatan di Segamat dilelong disebabkan kecuaian dan kelalaian beliau menguruskan hal tanah di daerah itu.

Salahuddin berkata, perkara tersebut berlaku pada 2003 dan ketika itu Mohd Azahar adalah Penolong Pentadbir Tanah Daerah Segamat.

Beliau berkata akibat kecuaian dan kelalaian Mohd Azahar seorang penduduk telah menjadi mangsa sehingga menyebabkan tanah miliknya dilelong kepada pihak ketiga.

“Perkara itu adalah prosedur sebagai seorang penjawat awam, lagipun tiada tindakan yang dikenakan kepada saya.

“Jadi terpulang kepada mereka (Pakatan Rakyat) nak kata apa.

“Itu adalah prosedur biasa bagi jabatan kerajaan, polis pun ada, kerajaan Malaysia pun ada. Di sini pejabat tanah dengan kerajaan (negeri) Johor,” kata Mohd Azahar kepada The Malaysian Insider.

Mengenai keputusan yang dibuat mahkamah yang tidak memihak kepada beliau, Mohd Azahar berkata, keputusan sudah dibuat dan oleh itu, tidak perlu perbesarkan lagi perkara itu.

Beliau turut menegaskan, tidak pernah terlibat secara langsung sehingga menyebabkan tanah tersebut dilelong kepada pihak ketiga.

“Itu keputusan mahkamah, mahkamah dah tentukan prosedur itu dan keputusan.

“Itu sebenarnya adalah provokasi... provokasi yang dibuat.

“Saya tidak terlibat (secara langsung), memang tak ada . . . ia fitnah dan berniat jahat,” katanya.

Salahuddin berkata, kejadian tersebut berlaku pada 2003 dan ketika itu Mohd Azahar menjawat jawatan Penolong Pentadbir Tanah Daerah Segamat.

“Kerana kecuaian dan kelalaian calon Umno-BN selaku Penolong Pentadbir Tanah Daerah Segamat (ketika itu) telah mengakibatkan satu perintah jualan ke atas hartanah seorang penduduk pada 2003.

“Bukankah kerana kecuaian calon Umno selaku Penolong Pentadbir Tanah Daerah Segamat mengakibatkan hartanah seorang penduduk dengan secara tidak sah dilelong pada 2003 dengan harga RM70,000.

“Bukankah calon Umno selaku Penolong Pentadbir Tanah Daerah Segamat secara cuai mengeluarkan perintah jualan hartanah tersebut tanpa pengetahuan mangsa yang mengakibatkan beliau menjadi mangsa kepada kezaliman hartanahnya dilelong kepada pihak ketiga,” katanya.

Naib Presiden PAS itu juga berkata, Mohd Azahar tidak layak untuk memperjuangkan isu tanah semasa berkempen.

Sebelum ini Mohd Azahar berkata isu tanah adalah antara masalah utama yang perlu diberi perhatian di Labis dalam kempen pilihan raya kecil kawasan itu.

No comments

Powered by Blogger.