Kebakaran setinggan KTMB, 250 penduduk hilang tempat tinggal

GUA MUSANG, 7 Jan – Kira-kira 250 penduduk di kawasan setinggan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Jalan Sungai Chinda, Pekan Lama, di sini, hilang tempat tinggal apabila 50 buah rumah di kawasan itu hangus dalam kejadian kebakaran awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, kawasan setinggan yang didiami penduduk sejak 30 tahun lepas itu musnah sama sekali kerana rumah penduduk yang diperbuat daripada kayu rentung dijilat api dalam masa setengah jam sahaja.

Ketika kejadian, kebanyakan mereka sedang tidur dan hanya sempat menyelamatkan diri dan kini tinggal sehelai sepinggang.

Ketua Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Che Rusli Che Sulaiman, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.29 pagi dan 13 anggota diketuainya bergegas ke tempat kejadian dengan dua jentera.

Katanya 30 anggota pasukan bomba sukarela MCA Kampung Baru di sini turut membantu memadamkan kebakaran itu yang berjaya dikawal dalam masa sejam.

“Kita anggap kejadian kebakaran ini yang terbesar berlaku di Bandar Gua Musang kerana ia membabitkan 50 keluarga, tetapi dalam kejadian itu tidak ada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Seorang mangsa kebakaran, Sharifah Mat Yusoff, 32, berkata kebakaran itu berlaku dalam sekelip mata dan masing-masing hanya sempat menyelamat diri daripada terperangkap dalam kebakaran.

Beliau berkata, saat cemas baginya apabila terpaksa masuk semula ke dalam rumah untuk menyelamatkan lima anak yang ketika itu masih tidur.

“Syukur kerana semua terselamat,” katanya.

Che Minah Samat, 48, berkata dia menyedari kejadian kebakaran itu selepas terdengar bunyi bising orang ramai yang melaungkan supaya keluar rumah kerana berlaku kebakaran besar.

Katanya dia kemudian bergegas keluar dengan mengheret tangan tiga anaknya.

No comments

Powered by Blogger.