Khalid Samad : Najib perlu jawab, buang elemen keagamaan Kristian

SHAH ALAM, 2 Jan – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sepatutnya tidak lepas tangan dengan membiarkan pegawainya menjawab segala persoalan berhubung isu membuang elemen keagamaan semasa sambutan Hari Krismas 25 Disember lalu.

Arahan berkenaan juga didakwa melarang berlakunya upacara sembahyang dan nyanyian lagu-lagu pemujaan di majlis anjuran Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) itu.

Najib hadir ke gereja berkenaan sebagai tetamu bagi meraikan rumah terbuka yang adakan di kediaman ketua biskop gereja Katolik Kuala Lumpur.

Bercakap kepada Selangorkini,, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad menegaskan biarpun arahan sedemikian tidak keluar dari Najib Razak namun selaku Perdana Menteri perlu mengambil tanggungjawab penuh.

Baru-baru ini, pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat menggesa Najib memikul tanggungjawab sepenuhnya dan meminta maaf secara terbuka berhubung sikap ‘tidak senang’ akibat tindakan pembantunya pada acara berkenaan.

Gesaan itu dibuat ekoran dakwaan bahawa pegawai-pegawai Najib mengarahkan kepimpinan gereja mengalih salib dan simbol-simbol lain daripada lokasi majlis itu, yang diadakan di Bukit Nanas di sini sebelum ketibaan Najib.

“Najib sepatutnya dia mengambil tanggungjawab, walaupun arahan bukan daripada dirinya sepatutnya dia menjelaskan sendiri dan mengarahkan pegawai-pegawai berkenaan untuk meminta maaf kerana apa yang penting kita sebagai orang Islam ini adil terhadap penganut agama lain,” katanya.

Tambah Khalid, tindakan Najib Razak berdiam diri dalam isu ini menggambarkan beliau takut untuk berhadapan memberi penjelasan kepada rakyat.

“Nampak macam penakutlah dia nak berhadapan dalam isu ini samalah dulu macam kes pegawai khas yang mengeluarkan kenyataan yang rasis dan sebagainya, respon dia (Najib) terlalu dingin sedangkan benda ini penting,” jelasnya.

Justeru,Khalid menegaskan Najib perlu memohon maaf dan tidak membiarkan pegawai-pegawainya menjawab persoalan yang dikemukakan pimpinan Pakatan Rakyat.

“Dia kena ambil tanggungjawab, samada pegawai dia ke, isteri dia ke, atau orang bawahan dia ke, dia kena bertanggungjawab sebagai Perdana Menteri, paling kurang pun jika bukan arahan dia, dia kenalah minta maaf ataupun minta maaf bagi pihak Jabatan Perdana Menteri,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.