Krisis Nilai Dalam Politik Semasa

Bukan semua kepulangan dialu-alukan.

Ada sesetengahnya lebih baik pergi tidak kembali.

Pergi bermuhasabah dan menyusun kembali harga diri.

Itulah yang saya fikirkan tentang mantan Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek, yang menyambut tahun baru 2008 dengan skandal seks beliau hingga menggemparkan seluruh Malaysia.

Beristerikan Datin Seri Wong Sek Hin, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek mengaku bahawa beliau adalah lelaki di dalam DVD yang tersebar itu. Tanpa sedikit pun rasa bersalah kepada isteri dan kepada posisinya sebagai Menteri Kesihatan, beliau meletakkan semua jawatan di dalam kabinet dan MCA, dengan menganggap insiden tersebut hanya sebahagian daripada usaha menjatuhkan dirinya. Beliau menyalahkan kerja keras dan kehendak tugas yang memerlukan beliau bertemu dengan orang ramai, sebagai punca dia dilihat berkepentingan. Tanpa semua itu, perbuatannya mengadakan hubungan seks dengan wanita di dalam rakaman video berkenaan mungkin tidak menjadi isu.

Beliau tidak pernah menyesali perbuatan kejinya.

Tidak daripada sisi dirinya sebagai seorang yang beragama, bertanggungjawab terhadap perkahwinan dan rumahtangganya, malah tidak juga sebagai Menteri Kesihatan yang bertanggungjawab mempromosikan cara hidup sihat yang bertentangan dengan perbuatannya.

Ia hanya sebahagian daripada catatan hitam putih politik negara kita.

Namun apa yang mengejutkan kita, adalah kepulangan beliau ke pesada politik negara, hingga mampu meraih jawatan sebagai Presiden kepada MCA, parti komponen Barisan Nasional.

Apakah nilai yang didukung oleh perwakilan MCA apabila memilih orang seperti ini sebagai Presiden?

“MENILAI NILAI SAYA”

Skandal seks itu saya timbulkan semula kerana merujuk kepada tindak tanduk Presiden MCA ini, yang juga merupakan seorang doktor pakar psikiatri terlatih, tatkala beliau memainkan isu MORAL dan NILAI di dalam kempennya.

Semasa kempen pilihanraya kecil DUN TENANG, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek memainkan isu calon PAS, Puan Normala Sudirman menyarung sarung tangan semasa bersalam. Kenyataan beliau menimbulkan reaksi tidak senang semua pihak, bukan sahaja kerana sentimen agama, malah apa kaitannya cara bersalam seseorang dengan kompetensi dirinya menjalankan tugas sebagai seorang ADUN?

Dengan penuh rasa sombong, hingga menepis peringatan Tan Sri Muhyiddin Yassin agar beliau berhenti daripada memainkan isu berkenaan, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek membuat kenyataan berikut:

‘What’s so great?’

Despite the storm, Chua stood his ground, saying there was nothing great about knowing the Islamic religious values.

“So what is so great about that? That is your religious value which I don’t know. How am I to know about the religious values when I’m not practising that religion?”

“I have the right to say that it’s basic manners to shake hands with people. That’s my values. Understand? You also must value my value, which is good manners, which includes shaking hands,” he went on, as quoted by Malaysiakini. [Harakahdaily 25 Januari 2011]

Kenyataan ini bukan lagi soal perbezaan fahaman politik, malah mencapai kemuncak KRISIS NILAI yang menghancurkan masyarakat.

Nilai dan rujukan moral apakah yang didukung oleh Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek?

Kami tidak ingin mengetahuinya.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG

No comments

Powered by Blogger.