Mahasiswa kian tidak ‘tenang’

Oleh Ubaid Abd Akla

Sebagai mana kita ketahui Pilihan raya Kecil Dun Tenang bakal menjengah beberapa hari lagi. Pelbagai isu ditimbulkan oleh mana-mana parti yang bakal bertanding di kerusi itu, tidak kira dari pihak Kerajaan mahupun Pakatan Rakyat. Kedua-dua pihak mengatur strategi bagi menawan kerusi ‘tenang’ tersebut kerana rekod pilihan raya yang lepas-lepas, Dun Tenang merupakan kubu kuat Umno dan Barisan Nasional. Andai terkulai barisan kubu tersebut di tangan Pakatan Rakyat, ia merupakan isyarat jelas kepada angin perubahan rakyat negeri Johor kepada Pakatan Rakyat.


Namun, di celah ketidaktenangan kedua-dua pihak, jentera mahasiswa jua kian tidak ‘tenang’ dengan tempoh jangka masa 2 minggu dari sekarang. Hal ini kerana Pilihan raya Kampus bakal muncul lagi dalam diari mahasiswa pada sesi kali ini.

Bahang Pilihanraya Kampus sesi kali ini pasti lebih hangat dari biasa kerana jika benar analisis kebanyakan penganalisis politik mengatakan Pilihan raya Umum bakal menjengah pada tahun ini, tahun 2011 sebagai angka keramat kepada PM Datuk Seri Najib, maka kemenangan jentera Pro-Mahasiswa di seluruh kampus IPTA mahupun IPTS merupakan isyarat jelas kepada Kerajaan bahawa anak-anak muda bakal menolak Kerajaan sedia ada sekarang.

Indikator seperti ini bakal merungsingkan lagi jentera pihak Pro-Aspirasi yang pastinya bakal menyusun strategi untuk menumbangkan jentera Pro-Mahasiswa yang kian terkesan di kalangan mahasiswa berbanding agen-agen Pro-Aspirasi yang hanya menjadi ‘pak turut’ pihak pentadbiran universiti.

Bahang kali ini ditambah dengan tuntutan seluruh jentera Pro-mahasiswa kepada pihak universiti untuk memberi autonomi dan autoriti penuh kepada mahasiswa untuk mengendalikan pilihan raya andai mereka benar-benar telus dan ikhlas memberi ruang kebebasan kepada mahasiswa. Di samping mendapat pantauan dari badan bebas seperti Pemantau Pilihan raya Bersih dan Adil (Mafrel) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) yang diberi kebenaran dan kebebasan untuk menjadi pemerhati dalam pilihan raya kampus kali ini.

Dan umum mengetahui, pencabulan terhadapa mahasiswa telah pun berlaku setelah system e-voting diperkenalkan beberapa tahun yang lalu. Maka tuntutan seperti ini wajar dalam menuntut Pilihan raya Kampus yang adil dan telus.

Walau bagaimanapun, tindakan mewujudkan system e-voting dilihat kurang bijak kerana memakan diri sendiri apabila jentera Pro-Mahasiswa berjaya juga menawan kampus-kampus seperti di UIA dan UM pada sesi yang lepas. Isyarat ini jelas bahawa mahasiswa sudah jelek dengan strategi kotor oleh mereka dalam menyekat kemaraan mahasiswa di peringkat universiti mahupun nasional.

Di samping itu, Pro-Mahasiswa di Lembah Klang meramalkan Pilihanraya Kampus bakal berlaku selaras di seluruh kampus pada hujung Januari atau awal Februari depan. Kebanyakan Majlis Perwakilan Pelajar di setiap kampus bakal membubarkan sesi kepimpinan bermula minggu ini sehingga hujung bulan ini.

Situasi ini pasti bakal menggentarkan Pro-Aspirasi untuk berhadapan seluruh mahasiswa dalam Mesyuarat Agung Tahunan kerana banyak manisfesto yang ditabur di kampus-kampus yang mereka kuasai hanya tinggal omongan kosong. Tiada apa yang boleh dibanggakan dengan janji-janji kosong oleh pihak mereka. Kebajikan mahasiswa tetap terabai!

Ubaid Abd Akla, Mahasiswa Fakulti Pengajian Ilmu Wahyu dan Warisan

Penulis merupakan mahasiswa tahun akhir danbekas Exco Perhubungan Luar, Kelab Ma’ruf, UIAM.

No comments

Powered by Blogger.