Mangsa tetak: Saya tak boleh maafkan madu, mahu cerai

KUALA LUMPUR, 9 Jan — “Kalau dia minta maaf sekali pun, susah saya nak maafkan. Sanggup dia buat saya macam ni,” demikian kata Siti Aminah Hanapi, 50, yang parah ditetak madunya dalam kejadian di Kampung Baru Sungai Korok dekat Alor Stear kelmarin.

Akibat kejadian itu, Aminah yang merupakan isteri pertama terpaksa menerima 46 jahitan di dahi dan pipi kiri selain mengalami sedikit retakan pada tengkorak kepala.

Bercerita lanjut, wanita tersebut berkata, dia sama sekali tidak menyangka layanan baik terhadap madunya yang dikenali sebagai Mah itu termasuk membenarkan tinggal bersama mereka sejak dua minggu lalu mengundang padah pada dirinya sendiri.

“Memang saya dan anak-anak tidak bersetuju apabila suami membawa Mah (madu) tinggal bersama kami kerana masalah kewangan tetapi mengenangkan anak tiri saya berusia lapan bulan ini, saya beralah,” katanya dipetik Mingguan Malaysia.

Dia dirawat du Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi, seorang isteri muda bertindak di luar batasan dengan menetak madu dan anak tirinya berusia 16 tahun sehingga parah menggunakan parang dipercayai akibat perselisihan faham.

Kejadian itu juga menyebabkan anak mangsa, Nurul Syuhada cedera di kaki akibat terkena libasan parang setelah cuba meleraikan pergaduhan berkenaan.

Aminah berkata, kejadian yang dianggap dahsyat dan ngeri itu juga menyebabkan dia serik hidup bersama suaminya, Saad Hussain, 51.

“Saya dah tak sanggup nak hidup dengan dia dan dah buat keputusan nak pergi ke pejabat agama untuk selesaikan masalah rumah tangga ini. Serik nak tinggal bersamanya bimbang kejadian berulang,” katanya.

Mengimbas tentang kejadian semalam, katanya, dia ditetak ketika cuba mengambil anak madunya yang berusia lapan bulan untuk diberi susu.

“Saya minta kebenaran dia (madu) dulu untuk ambil anaknya dan dia meminta saya masuk ke dalam bilik dan tiba-tiba dia terus libas saya dengan parang.

“Nasib baik anak saya (Nurul Syuhada) tolong rampas parang itu, kalau tidak tak tahu apa nasib saya,” katanya.

Katanya, dia tidak mahu berdendam dengan madunya itu dan menyerahkan kepada polis untuk menyiasat kes tersebut.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Supritendan Sawaluddin Hamenuddin berkata, siasatan awal polis mendapati, punca kejadian tetak tersebut adalah disebabkan daripada perselisihan faham.

Polis menahan suspek wanita di rumah keluarganya di Kuala Nerang dekat sini kira-kira pukul 3 petang ini bagi membantu siasatan.

Laporan Berita Minggu pula memetik Aminah mendakwa suspek sememangnya berniat membunuhnya kerana perasaan cemburu selepas dua minggu mereka tinggal bersama di rumah berkenaan.

Aminah mendakwa ketika kejadian itu suspek turut menghamburkan kata-kata kesat dan menyatakan keinginannya untuk melihatnya mati sambil menetak kepala dengan parang beberapa kali.

“Selepas menetak kepala saya, dia terus mencekak baju saya dan berkata ‘biaq mampuih hang’ (biar mampus kau). Saya tidak tahu kenapa dia bertindak begitu, tapi saya tahu dia memang cemburu dan berniat membunuh saya,” katanya.

Katanya, dua hari sebelum kejadian, madunya yang berusia lewat 20-an itu banyak menghabiskan masa berkurung dalam bilik bersama bayi lelakinya berusia lapan bulan.

“Namun pada hari kejadian, saya menyuruh anak saya, Nurul Shuhada Saad, 17, memanggil ibu tirinya itu dan membawa bayi itu keluar untuk diberi makan.

“Disebabkan tiada jawapan dari dalam bilik, Nurul Shuhada cuba memanjat dinding untuk melihat ke arah dalam bilik sebelum tiba-tiba wanita itu cuba menetaknya.

“Selepas itu dia terus meluru ke arah saya dan menetak bahagian dahi dan pipi menggunakan parang sepanjang kira-kira 40 sentimeter itu. Saya tidak tahu di mana dia ambil parang itu, tetapi saya agak ia memang sudah disimpan suspek di dalam bilik itu,” katanya.

“Sepanjang tinggal bersama, tidak pernah berlaku sebarang pergaduhan. Malah, kami turut makan semeja selain bersembang, cuma madu saya itu kadang-kadang lebih suka berkurung di dalam bilik,” katanya.

Laporan Bernama kelmarin menyebut suami kedua-dua wanita itu bekerja sebagai buruh di sebuah syarikat swasta di Jitra.

Katanya, sebelum ini madu wanita itu tinggal di rumah sewa di Kuala Nerang dan pindah ke rumah mangsa kira-kira dua minggu lepas kerana dikatakan suami mereka tidak mampu membayar sewa.

Siti Aminah Hanapi menerima 46 jahitan akibat ditetak oleh madunya kelmarin.

No comments

Powered by Blogger.