MB Khalid perlu ‘cermat’ rujuk isu SUK Selangor di mahkamah, kata bekas hakim

Oleh Debra Chong


KUALA LUMPUR, 3 Jan — Kerajaan Selangor kemungkinan berhadapan dengan keadaan bercelaru yang lebih mendalam berbanding jalan buntu jika ia memutuskan untuk ke mahkamah bagi menyelesaikan pertikaian berkaitan pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri baru, kata bekas hakim Datuk N.H. Chan.

Dengan merujuk kepada Seksyen 52 perlembagaan negeri Selangor, Chan berkata, undang-undang dengan jelas menyebut Setiausaha Kerajaan Negeri dilantik oleh suruhanjaya perkhidmatan, bukannya menteri besar ataupun sultan sebagaimana diperkatakan oleh sesetengah pihak.

“Sebagaimana anda boleh lihat, Seksyen 52(1) adalah jelas, ia secara spesifik mengatakan bahawa pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri harus dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan yang sewajarnya dengan memilih kalangan anggota perkhidmatan awam.

“Dia bukan dilantik oleh sesiapa; bukan juga oleh sultan, malah bukan oleh perdana menteri, tetapi oleh sebuah Suruhanjaya Perkhidmatan di mana calon Setiausaha Kerajaan Negeri ialah anggota perkhidmatan awam,” kata beliau.

Oleh itu, kata beliau, kemungkinan perkara yang akan dicabar berkaitan dengan pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri ialah ia tidak dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan yang berkaitan.

Justeru, bekas hakim Mahkamah Rayuan itu memberitahu The Malaysian Insider, Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim harus berhati-hati dalam menentukan suruhanjaya perkhidmatan yang dimaksudkan sebelum memulakan sebarang tindakan mahkamah untuk menyelesaikan pertikaian berkaitan pelantikan bekas Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai penyandang jawatan tersebut.

Khusrin masuk pejabat pagi tadi.

“Jika beliau menyaman suruhanjaya perkhidmatan yang salah, mereka akan kalah seratus peratus. Kes itu akan ditolak serta-merta,” jelas beliau ketika dihubungi di Ipoh.

Seorang lagi bekas hakim Mahkamah Persekutuan memberitahu The Malaysian Insider bahawa suruhanjaya perkhidmatan yang dimaksudkan dalam perlembagaan negeri Selangor ialah Jabatan Perkhidmatan Awam yang ketuanya ialah Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Sidek Hassan.

Bagaimanapun Chan enggan mengulas pandangan itu.

“Saya tidak tahu sebab saya bukan peguam yang berkhidmat. Saya tidak ada buku undang-undang yang sesuai untuk saya rujuk,” kata beliau.

“Saya ada membaca bahawa Karpal Singh sedang membantu (Menteri Besar). Mereka mesti buat penyelidikan mereka dan mengenal pasti suruhanjaya sesuai yang dimaksudkan,” kata beliau lagi.

Chan juga menegaskan bahawa situasi di Selangor berbeza berbanding krisis perlembagaan di Perak, yang membawa kepada kejatuhan kerajaan pimpinan Pakatan Rakyat awal 2009 kerana kedua-duanya undang-undang yang berbeza.

Beliau juga menasihatkan Khalid daripada mengambil sikap keras dalam menerima angkat sumpah kerahsiaan Khusrin.

Kata Chan, beliau berpandangan tidak wajar Khusrin dihalang daripada mengangkat sumpah kerahsiaan di bawah Subseksyen 4.

Jika tidak katanya, tindakan seumpama itu boleh membawa kepada hujah bahawa penyandang jawatan tersebut tidak terikat kepada peruntukan tidak boleh mendedahkan apa-apa yang berlaku di Majlis Eksekutif Kerajaan Negeri.

Malah kata beliau, Seksyen 52(3) perlembagaan negeri juga mengatakan bahawa sebaik sahaja dilantik oleh suruhanjaya perkhidmatan yang sesuai Setiausaha Kerajaan Negeri ada hak untuk mengambil bahagian dalam prosiding Majlis Eksekutif Kerajaan Negeri dan Dewan Undangan Negeri.

Malah katanya, undang-undang negeri juga membolehkan Khusrin dilantik menganggotai mana-mana jawatankuasa ditubuhkan oleh Exco dan Dewan Undangan Negeri.

Bagaimanapun katanya, kemungkinan keadaan akan wujud kerana dalam persekitaran semasa beliau akan dilayan macam “pariah.”

Pelantikan kontroversi Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri dilihat menuju krisis perlembagaan jika istiadat mengangkat sumpah di hadapan Sultan Selangor, yang dijadual akan berlangsung Khamis ini, diteruskan.

Kerajaan negeri Selangor sebelum ini menegaskan ia mempunyai kata putus dalam menentukan calon Setiausaha Kerajaan Negeri selepas Sultan Selangor memberi perkenan kepada nama yang disyorkan Putrajaya untuk melantik Khusrin.

Khalid yang bercadang untuk menghadap Sultan Selangor Rabu lalu tetapi terpaksa menangguhkan hasrat beliau sebab baginda bercuti.

Difahamkan beliau akan menghadap baginda hari ini.

Kelmarin, The Malaysian Insider melaporkan pendapat pakar perlembagaan Prof A Aziz Bari yang berkata, peluang terbaik yang ada pada Khalid bagi menyelesaikan kemelut pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri baru ialah dengan membawa pertikaian itu ke mahkamah.

“Undang-undang, sebagaimana termaktub, memihak Menteri Besar Khalid dan pentadbiran Pakatan Selangor,” kata beliau.

Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa ini memberitahu, peruntukan berkaitan sangat jelas dalam perlembagaan kerajaan negeri.

“Di bawah perlembagaan, kuasa untuk melantik anggota ‘ex-officio’ Exco termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri terletak pada Sultan,” kata Aziz.

“Tetapi baginda (Sultan) perlu mempertimbangkan nama-nama yang dipersembahkan oleh suruhanjaya perkhidmatan yang berkaitan, dan sebelum baginda melakukannya, Sultan mesti mempertimbangkan nasihat Menteri Besar,” kata beliau lagi.

Dalam kenyataan dikeluarkan pagi semalam, Khalid berkata, beliau kesal kerana Sidek yang didakwanya sengaja membelakangkan proses pemilihan yang telah ditetapkan bagi memilih Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.

“Pemilihan Datuk Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Ketua Setiausaha Negara telah mengabaikan proses pemilihan mengikut Nota Amalan Perkhidmatan Awam yang menyatakan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri perlu mendapatkan nasihat Suruhanjaya Perkhidmatan Awam peringkat pusat dalam pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri,” kata beliau.

Mengikut pengumuman Sidek Isnin lalu, pelantikan Khusrin berkuat kuasa semalam.

No comments

Powered by Blogger.