Pejabat MB serang, dakwa bekas SUK ‘bisu’ isu Khusrin

KUALA LUMPUR, 8 Jan — Menjawab kenyataan Datuk Ramli Mahmud bahawa beliau bukan dalang, Pejabat Menteri Besar mendakwa, sehingga majlis persaraannya bekas Setiausaha Kerajaan Negeri itu terus ‘membisu’ tanpa memberitahu perkembangan sebenar sehingga membawa kepada pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi.

Kenyataan pejabat Tan Sri Khalid Ibrahim mendakwa Ramli, yang buat pertama kali bersuara semalam, tidak membuat apa-apa kenyataan atau perbincangan mengenai pelantikan penggantinya Khusrin walaupun didakwa sedia mengetahui perkembangan isu berkenaan dari awal.

Antaranya, Pejabat Menteri Besar mendakwa pada hari yang sama, dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) di sebelah pagi hari yang sama, Ramli turut ‘membisu’ mengenai perkara itu.

Kenyataan itu dikeluarkan lewat petang semalam menjawab respons Ramli pagi semalam yang menafikan beliau adalah dalang dan telah mensabotaj pentadbiran kerajaan negeri dalam soal pelantikan Khusrin yang kini bertukar menjadi krisis perlembagaan.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider, Ramli menegaskan, beliau bukan “dalang” dalam isu pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai penggantinya, yang kini bertukar menjadi krisis perlembagaan.

Sebaliknya Ramli berkata Menteri Besar sepatutnya tahu bahawa Sultan Selangor sudah perkenan Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri.

Malah Ramli mendakwa beliau juga berpandangan bahawa Menteri Besar sedia menyedari pelantikan Khusrin dengan mendapat perkenan Sultan Selangor.

“JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) serah tiga nama kepada Sultan Selangor dan baginda perkenan Datuk Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri.

“Saya dapat surat daripada Istana mengatakan Sultan Selangor perkenan Datuk Khusrin dan meminta saya memaklumkannya kepada JPA.

“Saya tanya ada salinan atau tidak, saya terima surat itu dan Menteri Besar juga terima surat itu,” katanya.

Ramli juga mengakui beliau tidak memaklumkan pelantikan Khusrin kepada Khalid kerana difahamkan pejabat Sultan Selangor sudah menghantar salinan surat berhubung perkara itu kepada Menteri Besar.

“(Oleh itu) saya tidak maklumkan kepada Menteri Besar sebab saya ingat beliau sudah tahu (pelantikan Khusrin). Kalau Menteri Besar tidak tahu mengenai perkara itu, saya tidak tahu (soal itu), sepatutnya beliau tahu.

“Ikut asal saya hantar lapan nama kepada Menteri Besar dan Sultan Selangor termasuk Khusrin, jadi saya ingat perkara itu sudah dipersetujui.

“Saya hanya lakukan kerja saya, bila Sultan Selangor perkenan, maka saya maklumkan kepada JPA,” katanya.

Kelmarin, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad mendakwa Menteri Besar dan Exco Kerajaan Negerinya telah “disabotaj” dalam isu pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri dengan tidak diberikan maklumat tepat.

Khalid Samad berkata berdasarkan maklumat diperoleh beliau, Ramli sedia mengetahui yang nama Khusrin sudah pun dipersembahkan kepada Sultan Selangor dan ia telah menerima perkenan oleh baginda.

Bagaimanapun katanya, perkara tersebut tidak dimaklumkan kepada Khalid sehingga Menteri Besar itu terkejut dengan makluman pelantikan diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan pada 27 Disember.

Mengikut kenyataan dikeluarkan oleh Pejabat Menteri Besar petang semalam, berikut kronologi yang membawa kepada pelantikan Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri:

26 Oktober 2010: Pusat Sumber Manusia memberi Nota Amalan kepada Menteri Besar tentang prosedur pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri. Nota ini menyatakan bahawa:

i) Suruhunjaya Perkhidmatan Awam (SPA) akan menghantar senarai calon yang difikirkan layak (Gred 54 ke atas) kepada Menteri Besar.

ii) Menteri Besar kemudiannya memilih calon atau calon-calon yang sesuai dan menyerahkan senarai pendek kepada Sultan Selangor.

iii) Setelah Tuanku berkenan memilih nama yang dicadangkan Menteri Besar akan menyerahkan semula nama tersebut kepada SPA untuk tujuan penyediaan dokumentasi lantikan.

26 Oktober 2010” Pusat Sumber Manusia memberi nota amalan kepada Pejabat Menteri Besar tentang prosedur pelantikan Setiausaha Kerajaan yang baru dan menyenaraikan lapan nama yang dicalonkan untuk pelantikan.

8 November 2010: Pejabat Menteri Besar menubuhkan Jawatankuasa Pemilihan untuk memilih calon yang paling layak daripada lapan nama pegawai yang telah dicadangkan.

22 November 2010: Jawatankuasa memulakan proses menemubual semua calon.

1 Disember 2010: Mesyuarat Exco bersidang, Ramli tidak membuat apa-apa kenyataan atau perbincangan mengenai pelantikan Setiausaha Kerajaan yang akan menggantikan beliau.

2 Disember 2010: Mesyuarat MTES bersidang, Ramli tidak membuat apa-apa kenyataan atau perbincangan mengenai pelantikan setiausaha kerajaan yang akan mengganti beliau.

3 Disember 2010: Jawatankuasa telah memaklumkan kepada pejabat Menteri Besar bahawa tiga nama telah dipilih untuk dilantik serta memberitahu bahawa dua calon tidak mahu mengambil bahagian

8 Disember 2010: Mesyuarat Exco bersidang,.Ramli tidak membuat apa-apa kenyataan atau perbincangan mengenai perlantikan setiausaha kerajaan yang akan mengganti beliau.

9 Disember 2010: Mesyuarat MTES bersidang Datuk Ramli tidak membuat apa-apa kenyataan atau perbincangan mengenai pelantikan setiausaha kerajaan yang akan mengganti beliau.

15 Disember 2010: Mesyuarat Exco bersidang. Datuk Ramli Mahmud tidak membuat apa-apa kenyataan atau perbincangan mengenai perlantikan setiausaha kerajaan yang akan menggantikan beliau.

16 Disember 2010 2 petang: Mesyuarat MTES bersidang Datuk Ramli tidak membuat apa-apa kenyataan atau perbincangan mengenai perlantikan setiausaha kerajaan yang akan menganti beliau.

16 Disember 2010 9 malam: Majlis Persaraan untuk Datuk Ramli Mahmud dan dihadiri oleh Menteri Besar serta Setiausaha Politik. Datuk Ramli tidak membuat apa-apa kenyataan atau perbincangan mengenai pelantikan setiausaha kerajaan yang akan mengganti beliau.

17 Disember 2010: Menteri Besar menulis surat kepada Istana untuk memaklumkan Sultan Selangor tentang prosedur pemilihan yang dijalankan kerajaan negeri dan tiga calon akhir telah dipilih dan Menteri Besar terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan Sultan untuk pandangan dan nasihat. Ini selepas pemeriksaan teliti terhadap tiga calon ini.

20 Disember 2010: Menteri Besar menulis surat kepada Pusat Sumber Manusia untuk memaklumkan Menteri Besar telah menghantar tiga nama calon kepada Sultan Selangor dan belum menerima maklum balas. Surat berkenaan juga memberitahu Menteri Besar akan bercuti sehingga 30 Disember dan sebarang pengumuman mengenai Setiausaha Kerajaan Negeri perlu dirujuk kepada Menteri Besar.

21 Disember 2010: Istana menerusi Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Muhamad Munir Bani menulis surat kepada Setiausaha Sulit kepada Menteri Besar Mustapha. Bersama surat itu dilampirkan surat bertarikh 10 Disember 2010 yang dialamatkan kepada Ramli sebagai balasan surat yang dihantar Datuk Ramli bertarikh 3 Disember. Surat 3 Disember itu memaklumkan kepada Sultan Selangor tiga calon yang layak. Manakala surat 10 Disembermemaklumkan kepada Ramli bahawa Sultan Selangor telah berkenan dengan pelantikan Khusrin. Surat itu juga menyatakan Ramli boleh membuat pengumuman pada 16 Disember 2010.

24 Disember 2010: Pejabat Menteri Besar menjawab surat bertarikh 21 Disember daripada Munir bahawa Menteri Besar tidak pernah diberitahu keputusan yang telah dibuat bertarikh 10 Disember 2010 itu. Sehubungan itu, Pejabat Menteri Besar memohon perkenan untuk mengadap DYMM Sultan untuk perbincangan.

27 Disember 2010: Menteri Besar menerusi surat memohon untuk menghadap Sultan untuk perbincangan.

3 Januari 2011: Menteri Besar menghadap Sultan Selangor. Menteri Besar juga menulis kepada SPA menyatakan Kerajaan Negeri menolak pelantikan Khusrin dan tidak mengadakan majlis angkat sumpah menyimpan rahsia sehingga perkara ini selesai.

4 Januari 2011: Pejabat Menteri Besar menulis surat kepada Sultan memohon supaya majlis angkat sumpah ditangguhkan sehingga Kerajaan Negeri dan SPA menyelesaikan perkara ini.

6 Januari 2011: Menteri Besar dan barisan Exco hadir ke majlis angkat sumpah di Istana Bukit Kayangan sebagai taat setia dan kasih kepada Sultan dan Raja Muda tetapi tetap tidak menerima pelantikan Khusrin. ends

No comments

Powered by Blogger.