Pelan 100 Hari : Bidasan Najib tak masuk akal

SHAH ALAM 10 Jan – Kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak masuk akal apabila membidas pelan 100 hari yang dibentangkan oleh Pakatan Rakyat bulan lalu, ujar Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua.

Dalam kenyataan itu Najib berkata, apa yang terkandung dalam ‘Buku Jingga’ sebagai populis dan tidak bertanggungjawab.

Tegas Pua, apa yang dicadangkan Pakatan Rakyat di dalam ‘Buku Jingga’ hanya separuh daripada bajet yang dibentangkan Najib di dalam Parlimen Oktober lalu.

“Saya rasa Najib kena pergi balik ke sekolah untuk buat kira-kira bajet beliau. Kalau kerajaan mampu bina satu MRT bernilai RM40 bilion, bina Menara Warisan Merdeka RM5 bilion, bina Wilayah Kewangan Antarabangsa Kuala Lumpur(KLFID) yang bernilai RM26 bilion.

“Yang kita cadangkan itu hanya sebahagian daripada bajet yang Barisan Nasional ingin gunakan untuk projek mega ini.

“Saya rasa kritikan yang dibuat Perdana Menteri langsung tidak berasas kerana mengikut perkiraan kami kita akan membuat perbelanjaan yang kita cadangkan melalui perbelanjaan yang lebih amanah dan sistem terbuka termasuk tender terbuka,” kata beliau

Ujarnya, dengan cara tersebut kerajaan dapat menjimatkan lebih banyak wang dan mengurangkan ketirisan daripada rasuah, pembaziran, kecuaian dan lain-lain.

Berhubung dakwaan Najib negara bakal bankrap disebabkan program tersebut, apa yang pasti kata Pua jika BN terus dengan perbelanjaan cara mereka di mana defisit terus meningkat, apa yang diramalkan Najib pasti berlaku.

Mengulas isu yang sama, dalam pada itu, Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berpendapat kenyataan Najib itu sememangnya sudah dijangka dan hanya retorik semata-mata tanpa memahami matlamat sebenar Pakatan Rakyat.

“Kita sudah jangka beliau akan buat retorik seperti itu. Sebabnya, jelas apa yang kita nampak sekarang, BN tidak ada pendekatan dan cara yang baru untuk mengubahsuai atau perubahan besar kepada ekonomi Malaysia.

Jelasnya lagi, sejak sepuluh tahun kebelakangan ini iaitu pada tahun 2000 sehingga tahun lepas, kita dapati 700,000 anak Malaysia yang belajar di dalam dan luar negara tidak lagi percaya kepada kerajaan BN telah mencari kerja di negara lain seperti di Singapura, Amerika Syarikat, New Zealand, India dan Amerika Syarikat.

“Ini menunjukkan tidak ada keyakinan terhadap kerajaan BN, isu pokoknya kita kehilangan sumber manusia yang merupakan kelebihan dari pesaing-pesaing lain.

“Kalau kita ada pemikir yang baik, peniaga yang canggih, orang yang boleh berinovasikan teknologi yang baru, ini akan membawa perubahan besar kepada ekonomi Malaysia,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.