Pembantu rumah nafi pernah diperkosa menteri Malaysia

JAKARTA, 7 Jan — Wanita yang pernah bekerja sebagai pembantu rumah Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim selama lapan tahun sehingga 2007, hari ini menafikan dakwaan bahawa dirinya pernah diperkosa oleh bekas majikannya itu.

Menurut laporan portal berita detik.com hari ini, wanita itu menafikan dakwaan tersebut ketika ditemui empat petugas Balai Pelayanan Penempatan dan Perlindungan Tenaga Kerja Indonesia (BP3TKI) Semarang.

Dalam pernyataan bertulis yang ditandatanganinya, pembantu rumah itu menegaskan tidak pernah terjadi cubaan gangguan seksual oleh majikannya selama beliau bekerja di Malaysia.

“Saya bekerja selama lapan tahun di rumah Datuk. Selama itu baik-baik saja, tidak pernah ada permasalahan, apalagi terkait perlakuan kasar serta tidak senonoh terhadap saya,” katanya dalam kenyataan itu.

Ketua Badan Nasional Penempatan dan Perlindungan Tenaga Kerja Indonesia (BNP2TKI) Jumhur Hidayat telah dilaporkan memberitahu detikcom mengenai pertemuan ini berdasarkan laporan empat petugas BP3TKI itu.

Sehubungan itu Jumhur menegaskan bahawa kes kononnya berlaku pemerkosaan terhadap pembantu rumah itu oleh Rais, tidak pernah terjadi.

“Sudah ada keterangan langsung dari pembantu rumah itu dan juga kenyataan bertulis bahawa beliau tidak pernah mengalami pemerkosaan selama bekerja dengan keluarga majikan Datuk Seri Dr Rais Yatim di Malaysia, termasuk perlakuan lain yang tidak senonoh,” kata Jumhur dalam kenyataan kepada detikcom.

Jumhur berkata empat petugas Balai Pelayanan Penempatan dan Perlindungan Tenaga Kerja Indonesia Semarang itu telah mengadakan pertemuan dengan pembantu rumah itu dan suaminya.

Pembantu rumah itu telah memberitahu keempat-empat petugas itu bahawa beliau bekerja di Malaysia sejak 1999-2007 di rumah Rais dan Datin Seri Masnah Rais, kemudian kembali ke kampungnya di provinsi Jawa Tengah.

“Saya juga sudah melaporkan penjelasan pembantu rumah itu kepada Menteri Tenaga Kerja dan Transmigrasi Muhaimin Iskandar,” kata Jumhur.

Jumhur meminta semua pihak agar berhati-hati dalam soal kes dakwaan kononnya berlaku pemerkosaan terhadap tenaga kerja Indonesia oleh Menteri Malaysia itu, “sebab, ini melibatkan nama baik pembantu rumah itu bersama keluarganya, yang

masa ini hidup tenang dan nyaman di kampungnya”.

Di KUALA LUMPUR pada Rabu lepas, Rais menafikan dakwaan kononnya beliau terlibat dalam satu kes jenayah memperkosa pada 2007 dan semua dakwaan lain yang dilemparkan oleh penulis blog di internet dan parti pembangkang terhadapnya.

“Saya menafikan sebarang alegasi tersebut sama ada yang berkaitan alegasi memperkosa mana-mana individu empat tahun dahulu atau lain-lain dakwaan yang dicetuskan penulis liar blog di internet atau mana-mana entiti politik,” katanya dalam satu kenyataan. — Bernama

No comments

Powered by Blogger.