Pemimpin seronok berkahwin, rakyat dibaham buaya!

Posted on 4th JAN 2010
***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Sekiranya kamu bersyukur di atas segala nikmat yang telah Aku kurniakan, nescaya Aku akan menambah lagi nikmat-Ku itu. Sebaliknya andai kata engkau kufur terhadap nikmat-Ku, ingatlah sesungguhnya seksaan-Ku teramatlah pedih." (Surah Ibrahim, ayat 7)
***

KETIKA membelek akhbar Utusqn Meloya baru-baru ini, saya diserang satu perasaan aneh ketika menatap salah satu muka suratnya. Ini kerana di bahagian atas ada laporan dan gambar pemimpin sebuah negeri mengahwini seorang gadis Arab manakala di bawahnya dipaparkan berita seorang imam di negerinya dibaham buaya ketika menjala udang.

Alangkah hebat dan ke depannya pemikiran editor dan petugas akhbar ini; dua situasi berbeza dapat diletakkan sebelah menyebelah (dalam kes ini di atas dan di bawah), lantas membolehkan pembaca yang berfikir (kritis) membuat pelbagai andaian dan tafsiran. Terima kasih sang editor yang berfikiran begitu hebat! ‘Bravo’ kepada akhbar ini kerana mendedahkan situasi dua derajat pemimpin dan rakyat.

Kini berakhirlah sudah tahun 2010 dan masuklah 2011. Jika ketika musim cuti sekolah yang panjang (November dan Disember), berlangsung banyak perkahwinan (termasuklah perkahwinan pemimpin dengan gadis Arab), bermulanya tahun 2011, banyaklah ibu bapa pening kepala bagi memikirkan wang membiayai persekolahan anak-anak termasuk set kelengkapan ke sekolah seperti pakaian seragam, beg dan kasut. Pemimpin bolehlah tersenyum menikmati kemewahan termasuk kahwin baru tetapi rakyat bersiap sedialah untuk dibaham pelbagai jenis buaya, di daratan dan juga di lautan.

Baru-baru ini buaya-buaya ini telah menaikkan harga barangan keperluan harian – petrol, gas dan gula sedangkan pada pilihan raya kecil Galas ada buaya menyatakan harga minyak RON-95 tidak akan dinaikkan sehinggalah tahun baru. Nampaknya buaya ini berlaku curang, mungkinkah ia daripada jenis yang sama yang membaham imam yang sedang menjala udang itu?

Banyak lagi karenah buaya-buaya daratan ini yang menyusahkan rakyat awam, tetapi mereka bersandiwa kononnya merekalah yang terbaik, mendahulukan kepentingan rakyat sedangkan orang awam makin lama makin susah kehidupannya. Memang betul pendapatan rakyat semakin tinggi tetapi kos kehidupan adalah tersangat tinggi. Jika dulu anak-anak bolehlah dibekalkan dengan wang RM1 sehari ke sekolah, sekarang RM3 pun tidak cukup. Tetapi buaya-buaya daratan (domestik) ini terus memperbodohkan rakyat dengan slogan murahan harga barangan keperluan di negara ini adalah terendah berbanding negara jiran dan negara maju seperti UK atau AS dan juga ‘kenaikan ini tidak membebankan rakyat’.

Buaya-buaya jenis lautan pula memperdaya rakyat dengan operasi internasional mereka. Ada yang membabitkan komisen urus niaga kapal selam sehingga RM500 juta, ada yang membawa wang tunai berpikul-pikul ke luar negara dan ada yang membeli hartanah hebat-hebat di luar negara yang dilihat di luar kemampuannya. Mungkin ada buaya yang ada simpanan besar di Swiss Bank dan bank antarabangsa lain sebab kalau setakat menjadi buaya darat yang membina rumah bagaikan istana dalam negeri, mudahlah kena cekup seperti yang menimpa seorang doktor gigi.

Kegiatan pemimpin seperti berbini warga asing ataupun mengambil puteri-puteri raja tentunya memerlukan pembiayaan yang sangat besar. Tentunya mereka banyak duit dan harta, tetapi rakyat tidak kisah itu semua jika jalan ditempuhi (bagi mendapatkan bini dan harta) adalah melalui cara sah. Tetapi yang membengangkan rakyat jika caranya secara haram iaitu dengan melapah hak rakyat, menindas mereka seperti menggunakan taktik licin mengambil alih tanah seterusnya mengusir rakyat daripada penempatan tradisional mereka.

Tidak salah untuk pemimpin untuk berkahwin baru (dalam Islam dibenarkan sehingga empat) tetapi berwaspadalah agar kehidupan mewah yang sedang anda lalui tidak menerbitkan hal yang mengguriskan hati rakyat. Tidakkah anda mendapat iktibar daripada peristwa anda sedang seronok berkahwin sedangkan ada rakyat anda dibaham buaya gara-gara pergi ke sungai dengan tujuan untuk mendapatkan sesuap nasi?

Tentunya anda tidak seronok ketika detik anda gembira bernikah gadis cantik, rakyat dibuai kepiluan, meratap salah seorang anggota keluarga di baham buaya. Sudah semestinya anda tidak mahu rakyat dihadapkan dengan kedua-dua situasi ini secara serentak. Namun nampaknya editor akhbar Utusan Meloya telah merosakkan kegembiraan anda, mereka terlalu bijak dalam dunia persuratkhabaran, mereka meletakkan dua laporan ini beriringan. Mungkin mereka ada motif, hanya mereka yang tahu.

Nampaknya anda sebagai pemimpin dan editor Utusan Meloya merancang tetapi hakikatnya Allah SWT penentunya. Maka ditunjukkan-Nya pemimpin sedang berseronok dengan segala kemewahan dan kemampuannya termasuk berkahwin wanita muda sedangkan rakyat ditunjukkan begitu daif sekali sehingga terpaksa ke sungai yang mengakibatkan dirinya dibaham buaya! Jadi nasihat kepada rakyat, masih tidak sedarkah kita?

[Sumber]

No comments

Powered by Blogger.