Isu SUK: Khalid sahkan temu Khusrin hari ini

Oleh Shazwan Mustafa Kamal


SHAH ALAM, 7 Feb — Tan Sri Khalid Ibrahim (gambar) mengesahkan beliau akan bertemu dengan Datuk Mohd Khusrin Munawi hari ini untuk mengadakan perbincangan berhubung pelantikan beliau sebagai setiausaha kerajaan negeri Selangor.

“Ya, ya, saya akan bertemu beliau (Khusrin) lewat hari... pejabat saya akan menyediakan pemberita dengan maklumat lanjut,” kata Menteri Besar Selangor kepada pemberita hari ini.

Terdahulu pegawai-pegawai kerajaan memberitahu The Malaysian Insider bahawa Khalid tidak memberi apa-apa arahan berhubung pertemuan dengan Khusrin yang dijadual untuk diadakan hari ini.

Ketika ditemui, Khusrin enggan mengulas mengenai perkara itu.

“Saya rasa tidak wajar bagi saya untuk kata apa-apa. Saya tidak mahu berita datang daripada saya... lebih baik jika Menteri Besar sendiri yang berkata,” kata bekas pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ini.

Semasa dihubungi The Malaysian Insider semalam, Khusrin berkata, beliau tidak menerima sebarang surat rasmi daripada Menteri Besar berhubung pertemuan yang dijadual untuk diadakan hari ini.

Khalid mengumumkan langkah kerajaan negeri itu pada 27 Januari lalu - tiga hari selepas Dewan Undangan Negeri mengadakan sidang khas meminda perlembagaan negeri, tetapi gagal.

Sebaliknya, Khusrin berkata hanya mengetahui yang Khalid mahu bertemu dengannya bagi membincangkan status kedudukan beliau selaku setiausaha kerajaan negeri melalui media.

Pada 27 Januari lalu, Khalid berkata beliau juga akan mengadakan sidang akhbar bersama Khusrin bagi menjelaskan kedudukan setiausaha kerajaan negeri yang pelantikannya selama ini tidak dipersetujui oleh kerajaan negeri.

Bagaimanapun Khalid tidak menerangkan butiran mengenai pertemuan itu termasuk soal majlis mengangkat sumpah simpan rahsia untuk Khusrin bagi membolehkan beliau melaksanakan tugasnya dengan sempurna.

Pelantikan Khusrin diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd. Sidek Hassan pada 27 Disember lalu.

Pelantikan itu membawa kepada krisis perlembagaan termasuk usaha kerajaan negeri meminda Artikel 52(1) Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor bagi mengembalikan kuasa kepada Sultan dan Menteri Besar dalam urusan melantik tiga jawatan tertinggi negeri iaitu SUK, penasihat undang-undang dan pegawai kewangan negeri.

Bagaimanapun usaha itu gagal kerana tidak cukup undi majoriti dua pertiga di Dewan Undangan Negeri.

Khalid bagaimanapun menjelaskan, kerajaan negeri akan tetap dengan usahanya untuk meminda perlembagaan negeri bagi memasukkan semula peruntukan tersebut.

No comments

Powered by Blogger.