14 jenazah tragedi tanah runtuh dibawa keluar HKL

Oleh Latifah Kasmuri dan Zulaikha Zulkifli


KUALA LUMPUR, 22 Mei — Empat belas daripada 16 mangsa terbunuh dalam tragedi tanah runtuh di Hulu Langat semalam telah dibawa keluar dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas dibedah siasat untuk tujuan pengebumian.

The Malaysian Insider difahamkan setakat pukul 10.40 pagi tadi, tiga jenazah telah dibawa ke kawasan Pantai Dalam di sini manakala lima lagi ke Hulu Langat, masing-masing seorang mangsa ke Kelantan, Ipoh, Temerloh dan Batu Caves.

Dua lagi dibawa ke kawasan Dengkil untuk dikebumikan.

Salah seorang ibu mangsa yang terkorban, Intan Anisah Alang, 40, berkata jenazah anak dan anak saudaranya telah dibawa ke Tanah Perkuburan Jenderam Hilir, Dengkil dekat sini.

Kedua-dua mangsa itu ialah Muhammad Reizman Abdul Latif, 9, dan sepupunya Muhammad Kamarul Amizan Johari atau Boboy, 11.



Dalam pada itu, enam daripada sembilan mangsa yang cedera dalam kejadian tanah runtuh kini ditempatkan di wad biasa Hospital Ampang.

Dua lagi ditempatkan di unit rawatan rapi hospital berkenaan dan seorang sedang menjalani pembedahan, menurut seorang pegawai khidmat pelanggan hospital berkenaan dipetik Bernama Online.

Sembilan individu berkenaan adalah mangsa yang terselamat dalam insiden tanah runtuh tersebut, yang telah mengorbankan 16 nyawa.

“Kita tempatkan mereka di wad bencana yang diwujudkan berikutan tragedi ini yang berlaku semalam, buat ketika ini mereka semua sedang menerima rawatan masing-masing,” kata pegawai itu.

“Keutamaan pihak hospital ialah untuk merawat mereka, jadi keadaan mereka perlu dipastikan sentiasa tenang,” tambah pegawai itu.

Laporan itu juga berkata, operasi menerima mangsa dari kejadian tanah runtuh itu sudah dihentikan memandangkan kesemua mangsa yang tertimbus telah ditemui.

Runtuhan tanah dari bukit berdekatan kawasan rumah dikatakan menimbus keseluruhan khemah itu yang terletak di luar rumah anak yatim itu, yang terletak di lereng bukit.

No comments

Powered by Blogger.