Anwar terus ‘putar alam’ — Zulkiflee Bakar

10 MEI — Tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim memaki hamun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam satu ceramah politik di Klang, pada Ahad lalu bukanlah satu kejutan.

Sebaliknya, ia semakin mendedahkan bagaimana Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu semakin tidak mampu mengawal diri berikutan dakwaan rakaman video seks yang dikatakan melibatkan dirinya.

Itu bukanlah kali pertama Anwar kehilangan pertimbangan sehingga sanggup mengeluarkan perkataan-perkataan yang tidak sewajarnya daripada seorang bergelar pemimpin.

Pada awal Mac lalu, apabila rakaman video seks itu didedahkan Anwar yang berceramah di Ampang, Selangor turut mengeluarkan perkataan seperti ‘haram jadah’ dan beberapa perkataan lain.

Sebelum di Klang, Anwar yang sedang berusaha meraih sokongan rakyat konon dirinya teraniaya turut berceramah di Terengganu, di situ perkataan ‘bengong’ dan beberapa perkataan tidak elok lain turut dilafazkan.

Walaupun memulakan ucapan dengan ayat-ayat suci al-Quran memandangkan para hadirin terdiri daripada majoritinya penyokong PAS, namun Anwar mengambil kesempatan menabur fiitnah dan pembohongan mengenai kerajaan Barisan Nasional (BN) serta memaki hamun Umno.

Turut menjadi sasaran ialah Najib dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang digambarkan oleh Anwar menjadikan jawatan itu untuk mengayakan kaum kerabat mereka.

Apa yang cuba digambarkan oleh Anwar dalam ceramah-ceramahnya ialah beliaulah sebaik-baik insan, pemimpin yang bersih, bermoral dan berakhlak tinggi serta insan paling teraniaya di muka bumi Malaysia ini.

Tetapi apa yang berlaku dalam perjalanan politiknya sudah membuktikan bahawa Anwar bukanlah seperti mana yang beliau gambarkan namun segalanya mampu dilindungi dengan watak ‘Raja Putar Alam’ seperti mana digelarkan oleh bekas kawan karibnya, Datuk Nallakarupan.

Ceramah-ceramah yang diadakan hanyalah sekadar untuk melepaskan geram selepas segala tembelangnya semakin terbongkar.

Begitulah sikap Anwar yang dilihat semakin tenggelam punca dalam berhadapan tuduhan terbaru terhadap dirinya. Anwar bukannya berusaha menerangkan sama ada dakwaan itu benar atau tidak tetapi sebaliknya mengalih isu dengan menyerang Umno, BN dan kepimpinan negara.

Dalam ceramahnya, Anwar bagaikan seseorang yang masuk pusat karaoke yang akan menyanyi apa sahaja lagu biarpun suara sumbang bagi melepaskan tekanan perasaannya.

Beberapa teman penulis di dalam pembangkang mengakui bahawa Anwar semakin tidak mampu menghadapi tekanan memandangkan bukti-bukti yang diketengahkan melibatkan dirinya terlalu kukuh.

“Selain itu kami juga perhatikan bukan sahaja jumlah kehadiran orang ramai ke ceramah semakin berkurangan malahan hujah-hujah Anwar juga semakin rapuh.

“Anwar hanya menafikan semata-mata dan mengalih isu sedangkan pokok persoalan utama tidak dijawab sebab itu semakin ramai termasuk di kalangan penyokong pembangkang sendiri sudah tidak begitu percaya kepada beliau,” kata seorang pemimpin muda pembangkang ketika dihubungi penulis.

Sebenarnya, Anwar amat menyedari bahawa harapannya untuk menjadi Perdana Menteri semakin pudar, bukan sahaja kerana masalah yang sedang melanda pentadbiran kerajaan negeri di bawah pembangkang tetapi juga masalah peribadinya.

Walaupun media-media pro pembangkang cuba untuk mempertahankan Anwar tetapi mereka pun sudah tidak mampu bertahan dan melihat bahawa harapan pembangkang ke Putrajaya semakin tipis.

Namun Anwar tetap Anwar yang penuh dengan nafsu untuk berkuasa dan selagi Putrajaya tidak berada dalam genggamannya selagi itu beliau akan terpekik telolong di seluruh negara.

Tetapi setakat ini usaha Anwar boleh dikatakan sia-sia, apabila rakyat lebih memberi tumpuan kepada usaha-usaha yang dibuat oleh Perdana Menteri bagi meningkatkan taraf hidup rakyat.

Berdasarkan kepada respons yang diberikan oleh rakyat setakat ini adalah jelas usaha kerajaan BN yang dipimpin oleh Najib semakin mendapat sambutan.

Mereka sudah tidak ada masa lagi melayan propaganda politik Anwar apatah lagi menggadaikan masa depan hanya semata-mata untuk membolehkan Anwar menjadi perdana menteri.

Bagi mereka, kalau betul Anwar tidak bersalah, beliau perlu menggunakan saluran perundangan yang sedia ada bagi membuktikannya dan bukan cuba menyeret rakyat turun ke jalanan bagi membela nasibnya.

Senario tahun 1998 tidak akan berulang kerana rakyat sudah semakin mengenali siapa Anwar sebenarnya. Yang kekal menyokongnya ialah mereka yang terdiri daripada golongan pemimpin dan ahli pembangkang yang sudah diserap politik kebencian.

Bagi golongan ini, apa pun kebenaran yang cuba ditengahkan mereka tidak akan terima, sebaliknya mereka tetap menyanjungi Anwar sebagai insan anugerah tuhan seperti mana dikatakan oleh isterinya, Datin Seri Dr.Wan Azizah Wan Ismail.

Namun berdasarkan perbualan penulis dengan beberapa pemimpin pembangkang, mereka mengakui Anwar kini bukan lagi idola sebaliknya hanya liabiliti yang jika dibiarkan akan merosakkan pakatan pembangkang.

“Pada masa ini kita seolah-olah tidak ada kerja lain, selain menafikan masalah moral yang dihadapi oleh Anwar dan ini menjejaskan masa kita untuk membuat persiapan bagi menghadapi pilihan raya umum,” kata seorang lagi pemimpin pembangkang kepada penulis.

Ditanya mengenai kemunculan ‘Buku Jingga’ yang dikatakan mampu menarik sokongan rakyat, pemimpin berkenaan enggan mengulas lanjut sebaliknya penuh kiasan berkata, ‘pelanduk tidak akan masuk perangkap yang sama’.

Jelaslah, Anwar kini semakin memberikan bebanan kepada pembangkang dan kehadirannya jika suatu ketika dulu dianggap sebagai wira penyelamat tetapi kini beliau boleh dianggap bagaikan ‘anai-anai’ yang semakin memusnahkan pembangkang dari dalam kerana masalah peribadinya. — Utusan Malaysia Online

No comments

Powered by Blogger.