Blog Anwar: Utusan lampau, pendirian Pakatan Islam tetap agama rasmi

KUALA LUMPUR, 7 Mei — Pakatan Rakyat (PR) tetap berpendirian Islam akan kekal sebagai agama rasmi negara ini dan oleh itu tidak timbul soal perikatan tersebut akan mengambil langkah mengubah statusnya jika menawan Putrajaya, kata blog Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Pandangan itu juga mendakwa laporan Utusan Malaysia bersifat melampau dan mengelirukan rakyat memandangkan status Islam sebagai agama rasmi sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai respons kepada laporan muka depan Utusan Malaysia hari ini di bawah tajuk “Kristian agama rasmi?”

Laporan itu juga memetik Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi menafikan dakwaan kononnya beliau menganjurkan satu majlis pertemuan paderi dari seluruh negara, yang didakwa turut membincangkan agenda menjadikan Kristian sebagai agama rasmi Persekutuan sekali gus melantik Perdana Menteri dalam kalangan penganut agama itu.

Menurut wakil rakyat DAP itu, beliau hanya menghadiri majlis kesyukuran yang diadakan secara tertutup untuk paderi-paderi tersebut di sebuah hotel di Jalan Macalister, George Town sebagai tetamu.

Akhbar milik Umno itu mendakwa majlis pertemuan paderi-paderi berkenaan dan ikrar menjadikan Kristian sebagai agama rasmi Persekutuan didedahkan oleh dua laman blog.

Nota pentadbir dalam blog rasmi Anwar, Ketua Umum PR itu berkata, Utusan Malaysia sekali lagi bertindak melampaui batas dan kini telah menghempas tanggungjawab selaku pengamal media demi tunduknya mereka kepada adikuasa.

“Amat malang bagi rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan keadilan apabila saban hari disogok dengan berita fitnah dan hasutan,” katanya.

Tulisan itu menambah, isu agama rasmi bagi Malaysia menjadi sasaran terbaru “aparat pemerintah manakala Utusan tanpa rasa malu telah menidakkan fakta yang terbentang di depannya dengan berterusan memutar belit fakta bertujuan mengelirukan rakyat.” “Sudah dinyatakan sebelum ini, bahkan ia merupakan kenyataan rasmi yang ditandatangani oleh semua pimpinan Pakatan Rakyat bahawa Islam tetap kekal sebagai agama rasmi di Malaysia sekiranya Pakatan Rakyat mengambil alih tampuk pemerintahan pada masa hadapan,” katanya.

Entri itu turut menyiarkan kenyataan rasmi tiga pemimpin kanan PR yang ditandatangani bersama pada 8 September 2008.

Kenyataan tiga tahun lalu itu, antara lain menyebut, “kami sekali lagi mengulangi pendirian menjunjung prinsip-prinsip dasar yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan.”

“Ini termasuk soal-soal dasar seperti kedudukan Islam sebagai agama persekutuan dan menjamin kebebasan mengamalkan agama-agama lain, kedaulatan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan mempertahankan hak bahasa ibunda, kedudukan dan kedaulatan institusi Raja-raja Melayu serta kedudukan hak-hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta hak-hak semua kaum yang telah dijamin oleh Perlembagaan,” katanya lagi.

Ia juga menggariskan, berdasarkan prinsip-prinsip Perlembagaan ini “kami menolak sekeras-kerasnya pendekatan politik perkauman sempit yang menjadi dasar Umno-BN.” “Pendekatan inilah yang sengaja digunakan untuk memecahbelahkan perpaduan dan keharmonian masyarakat majmuk negara ini,” kata kenyataan tersebut.

Entri blog Anwar hari ini menambah, jelaslah bahawa Utusan Malaysia tidak layak untuk digelar selaku akhbar arus perdana, sbealiknya ia hanya layak menyandang gelaran ‘tabloid Umno’ sesuai dengan kenyataan bahawa parti tersebut merupakan pemegang saham sekali gus merupakan majikan mereka.

“Amat sedih melihat akhbar yang diasaskan oleh para pejuang pembebasan tanah air dahulu telah dirantai oleh manusia-manusia rakus kuasa zaman ini,” katanya lagi

No comments

Powered by Blogger.