CIJ gesa Utusan nilai kembali pemecatan Hata

KUALA LUMPUR: Pegawai Eksekutif Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ), Masjaliza Hamzah menggesa akhbar Utusan Malaysia menilai kembali keputusannya memecat wartawannya yang juga Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Hata Wahari.

Menurutnya, tindakan memecat Hata yang memperjuang kebebasan media itu tidak wajar dan bertentangan dengan amalan demokrasi.

“Utusan perlu kaji semula keputusan itu dan berilah peluang kepada Hatta kerana selaku Presiden NUJ, beliau tahu apa itu perjuangan media yang sebenarnya,” katanya kepada Keadilan daily.com.

Bagaimanapun, CIJ katanya, tidak terkejut dengan cara Utusan mengendalikan kes Hata kerana rekod sebelum ini menunjukkan pejuang media di akhbar milik umno itu seringkali di’lenyapkan’.

Ia berikutan Utusan pada 3 September 2009, turut memecat Presiden NUJ cawangan Utusan Amran Ahmad selepas didapati bersalah menfitnah syarikat itu susulan aduannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penyelewengan dalam syarikat akhbar itu.

Mengulas lanjut, Masjaliza berkata, Utusan Malaysia kerap memainkan sentimen perkauman sehinggakan sekutu Barisan Nasional (BN) sendiri pun memboikotnya.

Menurutnya, berita perkauman tidak patut dimainkan di Malaysia yang memiliki keunikan kepelbagaian agama dan suku kaum yang juga antara tarikan utama pelancong ke negara ini.

MCA pada 23 April lalu menggesa rakyat Malaysia memulaukan akhbar Utusan Malaysia kerana mencadangkan gerakan ’1Melayu, 1Bumi’ seperti yang disiarkan akhbar yang ditulis Penolong Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Datuk Zaini Hassan.

Masjaliza turut menyifatkan pemecatan Hata sesuatu yang malang kerana ia disiarkan sehari sebelum sambutan Hari Kebebasan Akhbar Sedunia yang jatuh pada hari ini, 3 Mei 2011.

Hata, Wartawan kanan yang berkhidmat di Utusan sejak 1995, semalam dipecat dalam satu surat bertarikh 21 April dan perlu merayu dalam tempoh 14 hari yang tempohnya berakhir pada 5 Mei ini.

No comments

Powered by Blogger.