Kristian agama rasmi: Umno cuba alih perhatian rakyat-BiPPA

PETALING JAYA: Pengerusi Biro Pemahaman & Pemantapan Agama KEADILAN (Bippa), Ahmad Kasim menyifatkan dakwaan kononnya terdapat usaha menjadikan Kristian sebagai agama rasmi merupakan satu siri untuk mengalih perhatian rakyat di negara ini.

Menurutnya, Utusan Malaysia yang menyiar laporan itu Sabtu lalu, merupakan rentetan propaganda jahat selepas tayangan video seks fitnah dan sumpah laknat oleh Trio Datuk T, gagal mengalih perhatian.

“Hakikatnya sentimen agama digunakan untuk melaga-lagakan penyokong Pakatan Rakyat (PR) melalui congak politik kuno mereka,”

“Selepas melontar berita palsu, siri laporan polis oleh badut-badut Umno/BN pula direncana untuk menunjukkan bahawa merekalah jaguh mempertahankan maruah orang Melayu dan Islam,” kata Ahmad dalam kenyataannya hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menyelar kegagalan Umno memastikan kecemerlangan Islam sebagai agama rasmi walaupun diberikan amanah mentadbir negara selama setengah abad.

“Setelah setengah abad diberi amanah mentadbir negara Umno/BN sebenarnya telah gagal untuk memastikan kecemerlangan Islam sebagai agama rasmi. Nilai-nilai agama dalam masyarakat langsung tidak diberi perhatian.

“Sekolah agama rakyat dipinggirkan. Gerakan dakwah dinafikan hak untuk memanfaatkan institusi agama seperti masjid dan surau. Jabatan-jabatan agama dijumudkan untuk kepentingan politik sempit mereka sahaja. Akhir jenayah sosial di kalangan generasi muda Islam gagal dibendung,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kuala Kedah.

Sementara itu, Ahmad sekali lagi menegaskan bahawa Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat sebelum ini sepakat untuk mempertahankan empat perkara pokok dalam Perlembagaan Malaysia.

“Islam sebagai agama rasmi Persekutuan manakala agama-agama lain bebas diamalkan dengan aman. Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan Persekutuan. Hak-hak istimewa orang-orang Melayu dan Bumiputera dan Kedaulatan Raja-Raja Melayu.

“DAP sudah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka akan berpegang kepada konsesus Pakatan Rakyat yang akan mempertahankan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan,” katanya lagi.

No comments

Powered by Blogger.