Kristian-Islam: ‘Takkanlah saya mahu percaya Utusan’, kata Nik Aziz

Oleh Syed Mu’az Syed Putra


KUALA LUMPUR, 8 Mei — Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau sama sekali tidak mempercayai laporan Utusan Malaysia semalam, yang mendedahkan kononnya ada usaha pihak Kristian mahu menjadikannya agama rasmi negara ini.

Sebaliknya Menteri Besar Kelantan dan Mursyidul Am PAS itu memperli laporan akhbar milik Umno dengan berkata jika rakan komponen Barisan Nasional (BN) tidak mempercayai Utusan Malaysia mengapa perlu beliau mempercayainya.

“Saya ditanya oleh pihak media berkenaan laporan muka hadapan Utusan Malaysia pada semalam kononnya usaha menjadikan Kristian agama rasmi negara.

“Saya katakan, lagikan MCA tidak percaya Utusan Malaysia, takkanlah saya mahu percaya?” katanya dalam entri di laman Facebook.

Utusan Malaysia semalam melaporkan wujudnya perbincangan untuk menjadikan Kristian sebagai agama rasmi negara sekali gus melantik perdana menteri dalam kalangan penganut itu.

Laporan muka depan dengan tajuk “Kristian agama rasmi” itu turut disiarkan dalam beberapa blog pro-Umno.

Blog-blog itu menuduh DAP menghasut dengan cuba meminda undang-undang negara untuk menjadikan mereka yang beragama Kristian menjadi perdana menteri, dengan menunjukkan gambar berbintik-bintik yang didakwa mereka sebagai pakatan rahsia antara DAP dan pastor-pastor di sebuah hotel di Pulau Pinang, Rabu lalu.

Perlembagaan Persekutuan tidak memperuntukkan syarat agama atau kaum bagi seseorang menjadi perdana menteri.

No comments

Powered by Blogger.