Muktamar: Perwakilan tentukan halatuju

Abd Shukur Harun shukurharun@yahoo.com

Siapapun yang akan menang dalam pemilihan pucuk pimpinan PAS dalam Muktamar PAS Ke-57 nanti sudah pasti ia menjadi anggota pasukan pimpinan yang akan berdepan dengan cabaran menjelang PRU Ke-13 ini.

Ini sudah banyak kali diperkatakan oleh pelbagai pihak dalam pelbagai media. Oleh itu, para perwakilan yang akan membuat pemilihan mempunyai tugas paling mencabar dan berat kerana pena mereka yang memangkah kertas undi – siapa yang mereka pilih –mempunyai kesan besar dan penting.

Para perwakilan yang memilih inilah nanti yang menentukan bentuk kepimpinan PAS, sekurang-kurangnya dua tahun lagi, di samping menghadapi pilihan raya ke-13 nanti.

Apakah para perwakilan mampu memilih pemimpin yang benar-benar mampu menghadapi semua cabaran ini nanti? Ini persoalan penting yang berligar menjelang Muktamar PAS bulan depan ini.

Pakatan Rakyat, di mana PAS menjadi anggotanya, sedang menghadapi cabaran yang sangat besar di tengah politik negara yang bergelora dan luar biasa, merongkai semua hukum agama, moral, malah undang-undang negara sendiri.

Disebabkan mereka yang berkuasa hendak mengekalkan kuasa mereka dengan apa cara sekalipun, maka mereka melakukan ‘membujur lalu melintang patah’. Kelihatannya tidak ada satupun yang tidak boleh dilakukan asalahkan dapat mengekalkan kuasa, walaupun menggadai maruah agama dan bangsa. Keadaannya sangat dahsyat sekali.

Para pemimpin PAS yang akan dipilih ini akan berdepan dengan suasana sedemikian menjelang PRU Ke-13 nanti dan inilah cabaran yang sangat besar. Bagaimanakah mereka mendepani suasana yang segawat ini ketika hukum agama, etika moral dan semua peraturan kelihatannya telah dipinggirkan.

Rakyat sedang berkeluh kesah, lemas, malu, kecewa dan pelbagai perasaan lagi berdepan dengan suasana paling buruk dalam sejarah negara ini. Mereka seperti sedang berada dalam sebuah terowong gelap gelita yang tidak kelihatan sebarang cahaya di depan mereka.

Oleh itu PAS sebagai parti politik dan gerakan Islam kontemporer mestilah benar-benar mengenal pasti masalah ini. Di dalam jamaah PAS ada golongan ulama yang berwibawa, golongan profesional yang telah menunjukkan prestasi cemerlamg mereka selama ini, golongan veteran dan aktivis yang sangat istiqamah.

Oleh itu, rakyat mempunyai harapan tinggi untuk melihat mereka ini berusaha mengembalikan semula maruah negara yang sangat terjejas ini.

Para perwakilan mestilah membuat pilihan setepat-tepatnya tokoh mana yang mampu mendepani cabaran ini. Antara tokoh yang dipilih itu mestilah mereka yang mempunyai ciri-ciri:

+ Berilmu dan sentiasa berusaha menambah ilmu.

+ Mampu membaca dan menguasai politik kontemporari dengan tepat baik politik dalam negeri mahupun luar negara.

+ Sentiasa berfikiran terkini.

+ Mampu berinteraksi dengan pelbagai golongan masyarakat – Islam dan bukan Islam.

+ Bekerja secara berstrategi

+ Berfikiran terbuka.

+ Mengenal pasti masalah yang urgent.

+ Mampu mengendalikan isu-isu yang berbangkit serta merta.

+ Mampu membuat perubahan dan sanggup menerima perubahan.

+ Berfikiran jauh ke depan, malah mampu menjadi prime mover, penggerak utama masyarakat.

Ini antara ciri-ciri yang perlu ada kepada tokoh yang hendak dipilih oleh perwakilan dalam Muktamar PAS Ke-57 nanti. Oleh itu, para perwakilanlah yang akan menentukan perubahan dalam PAS.

Memang benar, tidak semua para tokoh yang mampu memiliki ciri- ciri seperti yang disebutkan, namun sudah pasti ia diukur berasaskan berapa banyak ciri-ciri tersebut yang mereka miliki. Semakin banyak mereka memiliki ciri-ciri itu, semakin terserlahlah kecemerlangan mereka.

Pengalaman, betapapun banyaknya, ia hanyalah sebuah routine yang dialami berulang-ulang dalam kehidupan seseorang. Namun ia bukanlah segala-galanya. Ia hanya salah satu elemen yang memberi nilai dalam kehidupan peribadi seseorang.

Namun jika seseorang tokoh itu mempunyai pengalaman yang banyak, ditambah pula memiliki ciri-ciri kepimpinan yang disebutkan tadi, tentulah ia mempunyai kelebihan dan sangat diperlukan oleh PAS. Tokoh seperti inilah yang wajar dipilih oleh para perwakilan nanti.

Muktamar PAS sebenarya bukanlah hanya sebuah pesta atau majlis untuk bertemu dengan kenalan atau tokoh lama, bukan untuk melepas geram dalam perbahasan, bukan juga untuk mempertahankan golongan, tetapi muktamar ialah tempat bermuhasabah, menilai kembali prestasi parti dan kepimpinan yang diamanahkan selama ini sama ada mereka telah menjalankan tugas mereka atau sebaliknya.

Sementara ittu, para wartawan yang puluhan jumlahnya – dari dalam dan luar negara – serta para pemerhati akan mengikuti Muktanar ini sepenuhnya. Gerak geri, ucapan, perbahasan dan sebagainya oleh pemimpin dan perwakilan akan menjadi bahan sorotan mereka. Justru berhati-hatilah dalam menyampaikan ucapan dan perbahasan oleh pemimpin dan perwakilan.

Lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang, sesetengah media yang dimiliki oleh parti yang memusuhi PAS dan Pakatan Rakyat sentiasa mencari kesalahan dan kelemahan PAS dalam muktamar tersebut untuk didedahkan. Oleh itu berusahalah menutup segara ruang kelemahan dan kekurangan.

Muktamar PAS Ke-57 ini mestilah menghantar mesej cemerlang, sebuah muktamar yang teratur, berdisiplin, dikawal oleh akhlak Islam dan melahirkan perbahasan bermutu.

Oleh itu tidak syak lagi, pemimpin yang di atas pentas dan para perwakilan sedang menjadi perhatian pelbagai pihak – dalam dan luar negara – untuk melihat watak dan wajah PAS di muktamar kali yang ke-57 itu.

Selamat bermuktamar.

No comments

Powered by Blogger.