Najib: Kata-kata kesat tak ganggu tidur saya

PUTRAJAYA, 10 Mei — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata kata-kata kesat yang dilemparkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim ke atas dirinya tidak menjejaskan waktu tidur beliau.

“Ini tak menyebabkan saya tak tidur jendera (lena) waktu malam kerana dia (Anwar) buat sebutan sebegitu sebab saya yakin rakyat boleh menilai perbuatan yang dilakukan oleh pemimpin sepertinya,” katanya dipetik Bernama Online.

Najib menyifatkan Ketua Umum PKR itu sebagai sudah terjebak mengamalkan politik tidak beretika dan yakin rakyat boleh menilai sikap sebenar Anwar.

Tegas beliau lagi, perbezaan pendapat boleh diterima di dalam politik tetapi seharusnya tertumpu kepada soal dasar dan isu-isu berkaitan kepentingan rakyat dan bukannya dengan menyerang peribadi orang lain.

“Tetapi untuk serang peribadi orang lain, itu sudah terjebak dalam kancah politik yang tidak beretika.

“Saya percaya rakyat sendiri boleh menilai mana-mana orang politik berbuat sedemikian. Saya tak perlu membuat ulasan lebih lanjut daripada itu,” katan beliau selepas mempengerusikan Majlis Konsultasi Belanjawan 2012 di Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Najib (gambar) yang juga Menteri Kewangan memberikan reaksi demikian ketika diminta mengulas tindakan Anwar yang menyerang beliau dengan gelaran tidak sepatutnya.

Anwar dalam ceramah dengan masyarakat India di Dewan Hamzah, Klang, Selangor Sabtu lalu didakwa menggunakan perkataan kesat dalam bahasa Tamil ke atas Perdana Menteri iaitu pandi kutty yang bermaksud anak babi dalam bahasa Melayu.

Perbuatan Anwar itu mendapat kecaman pelbagai pihak dengan menyifatkannya sebagai sudah panik kerana rakyat semakin bijak menilai peribadinya dan semakin menolak kepimpinan beliau yang jelas tidak mempunyai prinsip dan hala tuju.

Ketika diminta mengulas dakwaan pihak tertentu kononnya penubuhan Briged Setia Negara oleh Pertubuhan Peribumi Perkasa (Perkasa) sebagai cubaan melatih kumpulan militan di negara ini, Najib berkata keharmonian dan keamanan dalam negara harus diutamakan.

“Apa-apa pun kita jangan keruhkan suasana. Saya tidak kata ia baik atau tak baik yang penting sekarang ini kita mesti jaga keharmonian dan keamanan dalam negara kita.”

“Kita telah mengalami keadaan di Malaysia yang begitu tenteram dan aman sekian lama. Kita tidak boleh melakukan apa saja yang boleh mengancam keamanan, keharmonian dan kestabilan negara.”

Kerajaan, tegasnya, tidak akan berdiam diri sekiranya ada pihak yang cuba menggugat keamanan, keharmonian dan keselamatan negara.

No comments

Powered by Blogger.