Najib tak mahu sertai polemik negara Islam MCA bantah PAS

Oleh Asrul Hadi Abdullah Sani

KUALA LUMPUR, 2 Mei – Datuk Seri Najib Razak petang ini mengelak daripada diheret dalam debat berhubung bantahan MCA, yang mengenakan syarat ke atas pelawaan beliau kepada PAS agar menyertai Barisan Nasional (BN).

Perdana Menteri (gambar) mempelawa PAS menyertai BN tetapi Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek semalam menutup pintu dengan mendakwa parti Islam itu mesti menggugurkan dasar negara Islamnya.

“Anda tahu, saya tidak mahu sertai polemik mengenai negara Islam sebab ada pelbagai tafsiran mengenai negara Islam,” kata beliau kepada pemberita di sini hari ini.

Semalam, Dr Chua menutup pintu menyertai BN kepada PAS kecuali ia sanggup menggugurkan prinsip-prinsip negara Islamnya terlebih dahulu.

Dr Chua berkata Najib sedar bahawa partinya tidak akan menerima PAS menukar Malaysia menjadi sebuah negara Islam.

“Pendirian MCA adalah sangat jelas bahawa kami tidak akan menerima PAS dalam usaha mereka menjadikan negara ini negara Islam. Kami tidak akan menerima yang itu dan Perdana Menteri juga memang sedar akan pendirian MCA ini,” kata beliau.

“Mereka boleh menyertai BN jika mereka sanggup menggugurkan dasar menjadikan negara ini sebagai negara Islam,” kata beliau.

Kelmarin, Najib berkata PAS patut keluar Pakatan Rakyat jikapun tidak memutuskan untuk tidak menyertai BN.

Sehubungan itu Perdana Menteri mendakwa PAS tidak pernah untung apa-apa pun dalam Pakatan Rakyat, malah mereka hanyalah menjadi alat kepada DAP.

Najib berkata, pada pilihan raya negeri Sarawak baru-baru ini misalnya, PAS telah bekerja keras, sebaliknya DAP yang dilihat meraih kejayaan daripada usaha keras mereka itu.

“Kita lihat poster di sini (Terengganu) ‘PAS ganti Umno’, realitinya ‘DAP ganti PAS’, di Sarawak (pilihan raya negeri 16 April lepas), PAS berkempen berhempas pulas, akhirnya, yang untung, DAP,” kata beliau.

“PAS, cukuplah dalam Pakatan Rakyat, alihlah kepada yang lain, tak masuk BN pun tak apa, tetapi keluarlah dari Pakatan,” kata beliau ketika berucap pada majlis perasmian Pangsapuri Rakyat Pulau Duyong.

Selain itu, Najib yang juga Presiden Umno dilaporkan mempelawa PAS agar menyertai BN dengan berkata, sudah tiba masanya PAS meninggalkan DAP atas alasan ternyata tidak pernah sekalipun memperjuangkan Islam.

“Kenapa buat baik dengan DAP? Adakah DAP boleh perjuangkan Islam?

“Hadi, cukup-cukuplah dengan DAP, tinggalkan DAP, masuk BN,” kata Perdana Menteri ketika berucap pada majlis Perjumpaan Mesra Perdana Menteri Bersama Rakyat Dewan Undangan Negeri kawasan Manir di Kampung Pulau Bahagia dekat Kuala Terengganu.

No comments

Powered by Blogger.