Pemuda PAS sertai Umno hanya propaganda

Harakahdaily

HULU SELANGOR, 18 Mei: Dewan Pemuda PAS Kawasan Hulu Selangor (DPPKHS) melihat laporan ‘pemuda PAS sertai Umno’ hanyalah merupakan propaganda Umno.

Ketuanya, Mohd Nizam Abdul Rahim menyatakan demikian sebagai respons kepada laporan ’60 orang pemuda PAS sertai Umno’ yang disiarkan Sinar Harian semalam, 17 Mei.

Katanya, Azhar yang menyerahkan kepada Datuk Idris hanyalah bekas ketua pemuda ketika PAS Sungai Tengi masih dalam peringkat penaja.
Jelasnya, dia telah meninggalkan PAS cawangan tersebut sejak lebih setahun lalu.

“Namun PAS cawangan langsung tidak merasakan kehilangannya kerana sebelum itu pun beliau tidak aktif menggerakkan PAS cawangan tersebut,” katanya.

Selain itu, katanya kenyataan bahawa Azhar menyertai Umno bersama 59 orang yang lain adalah meragukan.

Ini, katanya kerana semasa dia menyertai PAS dahulu juga menyatakan terdapat jumlah pemuda yang sama akan turut menyertai PAS.

“Namun apabila diminta menyenaraikan nama-nama pemuda yang dimaksudkan ternyata beliau gagal,” katanya.

Di samping itu, jelas Mohd Nizam lagi, sebelum Azhar mengumumkan menyertai Umno, jumlah ahli pemuda PAS cawangan Sungai Tengi hanyalah 45 orang.

“Bagaimana beliau boleh mengisytiharkan seramai 60 orang pemuda PAS menyertai Umno?” soalnya.

Menurutnya, hasil siasatan DPPKHS juga berpendapat Azhar menyertai Umno bukanlah dengan alasan sebagaimana yang dinyatakan.

Sebaliknya, kata beliau disebabkan beberapa perkara yang ingin dia perolehi melalui PAS cawangan Sungai Tengi tetapi tidak dapat dipenuhi kerana ia adalah untuk kepentingan peribadi.

Ini juga, ujarnya membuktikan kelemahan pimpinan Umno bahagian Hulu Selangor yang begitu terdesak untuk menunjukkan kekuatan mereka kepada pimpinan tertinggi mereka.

“Kesimpulannya DPPKHS ingin menyatakan bahawa kami sedikit pun tidak merasa tergugat dengan apa yang disiarkan,” ujarnya.

No comments

Powered by Blogger.