PKR; Anwar hanya guna ‘pandikutty’ rujuk BN, bukan Najib

KUALA LUMPUR, 10 Mei — Parti Keadilan Rakyat (PKR) menafikan Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan perkataan “pandikutty” terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada satu majlis di Klang, Sabtu lalu.

“Saya merujuk kepada tuduhan oleh pemimpin-pemimpin BN dan akhbar Umno seperti Utusan Malaysia bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) menggunakan perkataan ‘pandikutty’ terhadap Datuk Seri Najib pada sebuah majlis di Klang pada 7 Mei 2011,” kata Naib Presiden N Surendran dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

“Perkataan ini bermakna babi kecil. Saya berada di majlis tersebut dan mengesahkan di sini bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menggunakan perkataan tersebut terhadap Najib.

“Sebaliknya beliau menggunakan perkataan tersebut berkaitan dengan politik kotor dan jijik yang di amalkan oleh Barisan Nasional,” kata peguam itu.

Surendran juga berkata sekali lagi suatu tuduhan yang palsu sama sekali telah dibawa terhadap Ketua Pembangkang oleh parti-parti BN dan media milik mereka.

“Perdana Menteri sendiri telah mengulangi tuduhan palsu ini dalam komennya pada hari ini yang menyerang Anwar Ibrahim atas isu ini,” kata beliau lagi.

Kata Surendran, adalah juga ironik untuk mendengar rungutan remeh seperti ini daripada parti komponen BN yang telah melemparkan pelbagai fitnah melampau dan jahat ke atas Ketua Pembangkang sejak 1998.

Katanya, BN juga tidak pernah teragak-agak untuk memperalatkan badan kehakiman dan polis untuk membawa tuduhan jenayah palsu terhadap Anwar Ibrahim dan pemimpin pembangkang lain.

“Meskipun ini, Najib masih tergamak untuk menuduh ketua pembangkang mengamalkan politik tidak beretika dalam kenyataannya hari ini.

“Adalah jelas bahawa BN menganjurkan kontroversi palsu dan kosong seperti ini untuk cuba mengalih perhatian rakyat daripada kelemahan pemerintahan BN dan kenaikan harga petrol dan barangan yang tidak wajar,” katanya lagi.

Kata Surendran, “kami sekali lagi menuntut bahawa pemimpin BN hentikan politik kotor dan pengeluaran kenyataan palsu dengan segera.”

No comments

Powered by Blogger.