Umno khianati Islam agama rasmi, lebih teruk dari penjajah- Teras

KUALA LUMPUR: Kerajaan Umno tidak pernah memartabat Islam sebagai agama rasmi dalam setiap tindak tanduk mereka, malah pengkhinatan parti itu selama berpuluh tahun terhadap Islam disifatkan lebih teruk dari penjajah, kata Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Azmi Abdul Hamid.

“Namakan apa sahaja yang tidak dilakukan, dan kita tidak akan lupa. Kekangan terhadap guru-guru agama sehingga ada yang jauh dipindahkan. Masjid-masjid ‘dikurung’ sehingga ilmu agama tidak dapat diajarkan.

“Sekolah Agama Rakyat (SAR) ‘dibunuh’. Pandangan para mufti dan ulama diperlekeh.

“Mahkamah syariah dijadikan sebagai mahkamah kelas kedua dan banyak lagi tragedi terhadap umat Islam adalah hasil dari kepincangan dan kerja tangan pemimpin Umno itu sendiri.

“Dalam masa yang sama, kita tidak pernah lihat mereka berusaha untuk memperkembangkan fahaman dan syiar Islam.

“Jika ada pun, ia hanyalah bersifat kosmetik, bahkan mereka memperkudakan institusi dan agensi agama Islam semata-mata kepentingan politik mereka,” kata Cikgu Azmi dengan nada tegas.

Beliau memberikan reaksi demikian ekoran laporan akhbar milik Umno, Utusan Malaysia bertarikh 7 Mei 2011 di muka depannya dengan tajuk ‘Kristian agama rasmi?’

Tulisan tersebut menerima kecaman dan kritikan keras pelbagai pihak.

Azmi menyelar Utusan kerana secara tidak beretika, menyiarkan laporan yang berupaya mencetuskan pertelagahan antara kaum dan agama di negara ini.

Umno pula katanya, sengaja memperkuda media seperti Utusan bagi membangkitkan sentimen kemarahan orang Melayu- Islam terhadap penganut agama lain.

“Dalam hal ini, jelas mereka memperalat media secara rakus. Apakah mereka tidak sedar implikasi terhadap keharmonian perhubungan kaum di negara ini?

“Tidak lain, tindakan ini adalah percubaan Umno untuk meleraikan hubungan yang terjalin antara komponen parti Pakatan Rakyat, terutamanya antara DAP dengan parti Pas.

“Mereka cuba membolot sokongan orang Melayu dan Islam dengan cara melempar fitnah, gara-gara keretakan dalam komponen Barisan Nasional itu sendiri.

“Apakah dengan cara begini, mereka layak untuk memimpin umat Islam? soalnya lagi.

Azmi menjelaskan, sebarang permasalahan yang timbul di kalangan umat Islam perlu diperbincangkan secara tuntas bersama institusi dan sarjana Islam.

“Tidak boleh sama sekali melempar tuduhan yang belum tentu membawa penyelesaian,” ujarnya.

No comments

Powered by Blogger.