Video seks: Jangan desak kami dedah identiti pelaku, kata PDRM

JOHOR BARU, 18 Mei — Timbalan Ketua Polis Negara berkata tiada keperluan daripada segi undang-undang bagi pihaknya untuk mendedahkan identiti pelaku dalam video seks yang didakwa membabitkan pemimpin sebuah parti pembangkang.

Dipetik Bernama Online, Datuk Khalid Abu Bakar, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang menjurus kepada kesalahan mengedar dan mempamer video lucah, di mana tiada keperluan di pihak polis untuk mendedahkan identiti pelakunya.

“Tiada keperluan undang-undang untuk mendedah pelakunya. Jikalau kita mengambil tindakan yang lebih daripada had undang-undang, kita akan dituduh pula terlibat di dalam politik.”

“Kita menjalankan tanggungjawab menyiasat kes ini, apa yang tidak boleh didedah kita tidak akan dedah. Jangan mendesak kita, kita mengikut peruntukan undang-undang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Khalid berkata demikian selepas menghadiri majlis Sesi Percambahan Minda Bersama Pucuk Pimpinan Polis Kontinjen Johor yang turut dihadiri Ketua Polis Negeri Datuk Mokhtar Mohd Sharif.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air Datuk Zaid Ibrahim hari ini yang mendakwa kredibiliti polis akan terjejas jika ia masih teragak-agak mendedahkan identiti pelaku dalam video seks itu.

Khalid berkata, polis telah pun selesai menjalankan siasatan terhadap kes mengedar dan mempamer video lucah itu dan kini terpulang kepada pihak Jabatan Peguam Negara untuk meneruskan tindakan selanjutnya.

“Polis telah menjalankan siasatan, sama ada tuduh ke tidak itu bukan tanggungjawab polis, itu Jabatan Peguam Negara. Kita telah menjalankan apa jua arahan pendakwa raya tentang video lucah itu,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan mengemukakan lima cadangan untuk menghentikan kekeliruan orang ramai berhubung isu video seks.

Cadangan itu termasuklah mengesyorkan Anwar supaya memanggil pakar dari luar negara untuk mengesahkan video seks didakwa melibatkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat itu tidak tulen.

“Video itu telah disahkan (tulen) oleh pakar dari Amerika Syarikat dan Korea (Selatan). Saya kira polis sudah buat apa disebut sebagai semakan. Apabila Korea sudah buat diikuti Amerika, mereka sudah menyemak sekali lagi dan mengesahkan video itu tulen,” katanya dipetik Bernama Online.

Ahmad juga mencadangkan supaya Anwar menyaman ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah jika benar pendedahan itu ialah fitnah selain bersumpah laknat menafikan beliau terlibat dalam skandal video seks berkenaan.

Beliau juga meminta polis supaya segera mendedahkan identiti pelaku dalam video seks itu dan mendakwa pelakunya di mahkamah untuk menamatkan pelbagai spekulasi serta mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Diraja.

Polis sebelum ini enggan mendedahkan identiti pelaku dalam video seks itu meskipun pakar dari Korea Selatan serta Amerika Syarikat mengesahkan bahawa video tersebut tulen dan bukan menggunakan teknik pertindihan.

“Kesemua cadangan itu dibuat untuk menghentikan kekeliruan orang ramai dan juga menghentikan tuduhan-tuduhan bahawa Umno di belakang ini dan hentikan kita ini fitnah dan hentikan Utusan Malaysia akhbar fitnah.

“Kalau satu cadangan ini pun tidak dibuat, ia akan mengganggu pemikiran masyarakat. Kita nak tahu siapa yang benar. Dalam kepala rakyat nak tahu siapa yang benar. Saya sendiri ingin tahu apa perkara sebenar,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.