Tidak peduli kempen cemar, Bersih 2.0 teruskan kempen

Oleh Melissa Chi


PETALING JAYA, 1 Julai — Meskipun berhadapan dengan siri amaran dan dakwaan bahawa dipengaruhi oleh fahaman komunis, sekretariat Bersih menegaskan pihaknya akan meneruskan rancangan menganjurkan perhimpunan menuntut pilihan raya bebas dan adil atas alasan pihaknya tidak mencabar sesiapa.

Polis pula menegaskan pihaknya akan memastikan perhimpunan 9 Julai ini tidak menjadi kenyataan manakala kerajaan Barisan Nasional (BN) melarang orang ramai menjauhkan diri daripada pergerakan Bersih atas alasan ia dipengaruhi oleh agenda politik Pakatan Rakyat.

“Saya merayu kepada kerajaan agar bertindak rasional. Atasi isu-isu yang diletakkan di atas meja dan berikan kami satu penjelasan ... jangan serang pertubuhan madani.

“Mereka fikir mereka mematikan saraf kempen ini. Sebenarnya, ia sudah menjangkaui sekretariat ini. Rakyat adalah saraf,” kata Pengarah Eksekutif Empower Maria Chin Abdullah di sini.

Premis Empower dan Women’s Aid Organisation (WAO) bertindak sebagai sekretariat Bersih, yang diserbu oleh polis dua hari lalu.

Tujuh sukarelawan dipanggil untuk soal siasat selain bahan terbitan dan kemeja-T Bersih 2.0 dirampas oleh polis.

Gambar Samsiah Fakeh dan CD Abdullah, bekas pemimpin-pemimpin Parti Komunis Malaya yang sudah diharamkan juga dirampas, dan ia digunakan untuk mengaitkan pertubuhan bukan kerajaan itu dengan komunis.

Maria berkata dakwaan mengaitkan pihaknya dengan komunis satu tindakan mahu melemahkan pertubuhan tersebut.

Kini kesemua bahan berkaitan dengan Bersih 2.0 dianggap sebagai haram.

Maria berkata Bersih 2.0 yang dianggotai oleh 62 pertubuhan bukan kerajaan telah menghimpunkan 5,000 orang yang akan bertindak sebagai pekerja keselamatan manakala 100 doktor bertindak sebagai pasukan perubatan dan peguam untuk bertindak jika ada tangkapan.

“Jika ada sebarang keganasan, sudah pasti ia tidak akan datang dari Bersih,” kata beliau sambil menambah, pihak polis seharusnya bekerjasama dengan mereka untuk memastikan perhimpunan berjalan dengan aman.

Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Khalid Abu Bakar berkata pihaknya sudah menutup semua bentuk perbincangan dengan penganjur-penganjur yang mahu mengadakan perhimpunan pada 9 Julai ini.

Pengarah Eksekutif WAO Ivy Josiah berkata Bersih 2.0 tiada niat untuk mencabar kerajaan dan perhimpunan minggu depan dilihat sebagai satu ancaman.

“Kami tidak mencabar sesiapa. Kami hanya mahukan pilihan yang bebas dan adil. Ini bukan satu pertandingan,” katanya.

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEg9_ChJlZvYDgA9tk6nTfwRNUCQc_iBQUfAQ6yfmG23M3zSnbDLe1bxY0PVL_LbSJHP0TJY8BiQqdmVwudzcp1f72aHcABfkExA3Hk7TRu-CE0lTq4LGHLkVguMD-FvNzdWOwUt8-RmxR0/s1600/JALANRAYA.jpg

No comments

Powered by Blogger.