Kenyataan media oleh Teresa Kok Suh Sim

Kenyataan media oleh Teresa Kok Suh Sim di Shah Alam pada hari Jumaat, 1hb Julai 2011:

Serangan yang bersifat partisan oleh Timbalan Pengerusi SPR, Wan Ahmad kepada Bersih 2.0 membuktikan bahawa SPR sendiri tidak bebas dan ia merupakan musuh kepada pilihan raya bersih dan adil di Malaysia

Fitnah Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Wan Ahmad Wan Omar mengenai Bersih 2.0 sebagai alat Pakatan Rakyat, membuktikan lagi kepada rakyat Malaysia bahawa SPR sendiri bukanlah sebuah badan yang bebas dan ia tidak boleh diharap untuk menegakkan hak sivil rakyat untuk pilihanraya yang bersih dan adil .

Permintaan Wan Ahmad supaya Bersih menjarakkan entitinya dengan Pakatan Rakyat adalah nakal, mengelirukan dan tidak adil kerana Bersih telah mengambil keputusan dengan menolak sebarang keahlian dari mana-mana parti politik untuk mengelakkan tuduhan yang tidak wajar sebagaimana selepas perhimpunan Bersih 2007. Kini Bersih merupakan gabungan lebih dari 60 buah NGO dan orang-orang awam dan tiada penglibatan dari parti politik.

Selain itu, Bersih juga sentiasa cuba untuk menjalin hubungan dengan semua parti politik di Malaysia termasuk Barisan Nasional (BN), bagi menarik sokongan supaya melaksanakan lapan tuntutan untuk perubahan sistem pilihanraya. Bagaimanapun usaha Bersih tidak diberi perhatian malah diabaikan, diketepikan dan ditolak oleh pemimpin BN.

Lapan tuntutan Bersih untuk melakukan reformasi pilihan raya adalah adil, wajar dan ianya merupakan satu keperluan penting dalam sistem demokrasi yang sihat di seluruh dunia. Lapan tuntutan adalah seperti berikut:

Bersihkan senarai pengundi

Mereformasikan undi pos

Gunakan dakwat kekal

Tempoh kempen minimum 21 hari

Akses media yang bebas dan adil

Memperkukuhkan institusi awam

Hentikan rasuah

Hentikan politik kotor

Jika SPR dan kerajaan melaksanakan lapan tuntutan di atas, kerajaan yang dipilih hari ini akan mempunyai legitimasi yang lebih baik dalam maksud kredibaliti pemerintahannya. Hanya sebuah kerajaan korup, yang merompak kuasa melalui pilihanraya yang kotor dan dengan sokongan daripada SPR yang berat sebelah, akan menentang lapan tuntutan ini dan terus memburukkan gerakan masyarakat sivil yang menyokong mereka.

Saya ingin mengingatkan Wan Ahmad, pada Forum Awam bersama SPR yang dianjurkan oleh Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ), bertempat di MBPJ pada 22 Februari 2011, dihadiri oleh kira-kira 200 orang awam bahawa, Wan Ahmad telah hadir dan rekod menyatakan bahawa SPR tidak mempunyai kuasa untuk melaksanakan mana-mana tuntutan reformasi pilihanraya yang dicadangkan oleh Bersih kerana batasan undang-undang kepada SPR, SPR hanya diberi kuasa "untuk menjalankan dan mentadbir pilihan raya".

Wan Ahmad juga berkata, "Saya harap anda patut pergi kepada Perdana Menteri dan Peguam Negara dengan cadangan pembaharuan tersebut kerana SPR tidak boleh berbuat apa-apa."

Oleh itu, Wan Ahmad harus bersyukur kerana Bersih mempunyai keberanian dan integriti untuk mendesak melakukan perubahan sistem pilihanraya bahawa SPR tidak punya kuasa untuk melaksanakannya dan SPR harus memberikan sokongan yang penuh kepada perhimpunan awam Bersih pada 9 Julai ini.

Sebagai Timbalan Pengerusi SPR, Wan Ahmad harus sedar bahawa lapan permintaan Bersih untuk reformasi pilihanraya akan dapat membantu SPR menjadi organisasi yang benar-benar bebas daripada kuasa eksekutif, malah menjadikan SPR lebih berkuasa sebagai sebuah institusi yang dihormati dan bertaraf dunia.

Lebih daripada itu, ia akan memperlihatkan SPR sebagai penentang yang kuat kepada Bersih seperti boneka BN dan menjadi musuh kepada pilihanraya yang bersih dan adil.

* Teresa Kok Suh Sim, Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, EXCO Kanan Selangor & Ahli Parlimen Kawasan Seputeh

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEg9_ChJlZvYDgA9tk6nTfwRNUCQc_iBQUfAQ6yfmG23M3zSnbDLe1bxY0PVL_LbSJHP0TJY8BiQqdmVwudzcp1f72aHcABfkExA3Hk7TRu-CE0lTq4LGHLkVguMD-FvNzdWOwUt8-RmxR0/s1600/JALANRAYA.jpg

No comments

Powered by Blogger.